Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum Tuan, Seorang saudara saya mengatakan dia mengikuti fahaman ulamak kibar dari Saudi. Antara fahaman itu, anak-anak tidak boleh ke sekolah kerana haram. Jadi dia tidak mahu membantu suaminya menguruskan hal sekolah anak-anaknya sehingga berlaku pertengkaran besar. Dia juga mengatakan, hukum bergambar walaupun untuk kenang-kenangan itu haram. Mohon tuan dapat membantu meleraikan kekusutan hal ini. Terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, Islam sangat menitik beratkan ilmu pengatahuan lebih-lebih lagi diterapkan pada peringkat awal kanak-kanak. Islam juga tidak melarang wanita untuk menuntut ilmu. Hukum menuntut ilmu adalah wajib. Sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, ia berkata bahwa Rasulullah SAW bersabda; طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ Maksudnya : “Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap muslim.” (Riwayat Ibnu Majah) Manakala hukum bergambar adalah harus, dengan syarat ia menutup aurat, tambahan pula hanya sesama ahli keluarga. Bagi meleraikan kekusutan yang dialami, sebaiknya saudara puan hendaklah meninggalkan fahaman itu dan membawanya ke Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran untuk sesi khidmat nasihat kekeluargaan, kerana fahaman tersebut menyebabkan berlakunya pertengkaran dalam rumahtangga dan turut menjejaskan pendidikan anak-anaknya. Mudah-mudahan dapat diberi bimbingan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.