Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Datuk saya telah tinggal diatas tanah kerajaan dari tahun 1960-1995. Sehingga datuk saya meninggal dunia, geran tidak dapat dimiliki. Setelah itu, 1998 emak saya duduk diatas tanah kerajaan tersebut (atas tanah kerajaan yg datuk saya duduk sebelum itu). Pada 2006 emak saya mendapat geran anugerah kerajaan neg selangor atas tanah tersebut. Isu yang berlaku, adik beradik emak saya telah menuntut hak faraid ke atas tanah tersebut. sedangkan emak saya masih hidup. Adik beradik emak menganggap bahawa tanah tersebut adalah hak datuk saya kerana datuk yang membuka tanah tersebut. Adakah emak saya perlu menyerahkan tanah tersebut utk difaraidkan?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, tanah tersebut telah diusahakan atau diteroka oleh datuk saudara dan beliau telah tinggal di tanah tersebut sehingga akhir hayatnya. Seterusnya diduduki oleh emak saudara dan telah memperolehi geran tanah. Pemilikan tanah adalah berdasarkan hasil usaha datuk yang telah meneroka dan membangunkan tanah pada awalnya. Dalam hal ini, Islam mengiktiraf mereka yang meneroka tanah terbiar atau dipanggil ihya’ al- mawat dan diperakukan oleh pemerintah melalui pemberian geran pemilikan walaupun geran tersebut diberikan atas nama salah seorang waris. Justeru, penama adalah pemegang amanah terhadap harta tersebut. Sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Sesiapa yang meneroka sebidang tanah yang tidak dimiliki seseorang, maka dia berhak ke atas tanah itu.” (Riwayat an-Nasaie) Justeru, tanah tersebut adalah milik datuk dan hendaklah difaraidkan kepada ahli waris. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.