Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum Ustaz, saya ada seorang ayah tiri. Saya juga faham tahu batas aurat dengan ayah tiri saya. Cuma saya musykil batas aurat saya dengan datuk tiri saya iaitu bapa kepada ayah tiri saya. Saya keliru kerana ibu saya sering mendesak saya bersalam dengan datuk tiri saya ini pada setiap kali perjumpaan. Begitu juga batas aurat saya dengan adik beradik lelaki ayah tiri saya. Mohon penjelasan daripada Ustaz.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, hanya ayah tiri sahaja yang menjadi mahram disebabkan perkahwinannya dengan ibu kandung saudari. Bermakna, datuk tiri dan bapa saudara tiri (adik-beradik lelaki ayah tiri) adalah bukan mahram kerana bukan darah daging dan tidak sama dengan kemahraman sebagai wali. Justeru, tidak boleh bersalaman dan wajib menjaga batas aurat dan pergaulan. Ini merujuk kepada firman Allah SWT yang bermaksud : “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (an-Nisaa' : 23) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.