Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum wbt. Apakah hukum solat sunat selepas Asar? Maksud saya seperti solat sunat taubat dan solat sunat hajat. Telah saya teliti beberapa forum jabatan agama tetapi jawapan mengelirukan saya.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, secara umumnya hukum melakukan solat sunat selepas waktu asar adalah dilarang. Ini sepertimana hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas RA, iaitu: أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم نَهَى عَنِ الصَّلاَةِ بَعْدَ الصُّبْحِ حَتَّى تَشْرُقَ الشَّمْسُ، وَبَعْدَ الْعَصْرِ حَتَّى تَغْرُبَ. Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW, telah melarang dari melakukan solat (sunat) selepas solat subuh sehingga terbitnya matahari dan selepas solat asar sehingga terbenamnya matahari”. (Riwayat al-Bukhari) Namun, terdapat pengecualian dalam beberapa keadaan boleh dilakukan solat sunat selepas asar, iaitu solat yang sebabnya datang dahulu seperti solat sunat gerhana matahari, solat sunat wudu’ dan solat sunat tahiyatul masjid. Justeru, bagi solat sunat hajat dan solat sunat taubat hendaklah dilakukan selain daripada waktu tersebut, ini kerana solat itu dilakukan dengan sebab yang datang kemudian. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.