Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum Ustaz/ ustazah, saya mahu bertanya berkenaan hukum sekiranya gigi kita kuning, dan tampal pada gigi utk putih, apakah hukum nya? Soalan kedua, sekiranya gigi kita lopong antara 2 gigi. Bolehkah kita lekat ‘gigi palsu’ Pada yg tempat lopong supaya nampak cantik. Apakah hukumnya?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, hukum asal bagi memutihkan gigi/ veneer adalah harus, namun ia mestilah memenuhi syarat berikut; 1. Hendaklah memastikan proses tersebut selamat dan tiada kesan sampingan yang memudharatkan. 2. Proses tersebut hendaklah menggunakan bahan yang diharuskan dan bukan najis. 3. Hendaklah mendapat nasihat pakar atau doktor pergigian yang bertauliah terlebih dahulu. 4. Tidak melakukan veneer dengan niat berbangga diri dan merendahkan orang lain. 5. Tidak melakukan veneer dengan tujuan menipu orang lain. 6. Tidak melakukan veneer hanya untuk tujuan kecantikan. Justeru, jikalau ingin memutihkan gigi dengan tujuan kecantikan, maka tidak dibolehkan. Begitu juga dengan melekatkan gigi palsu pada tempat yang lompong dengan tujuan untuk kecantikan adalah tidak dibolehkan. Ini adalah berdasarkan hadis Nabi SAW لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ تَعَالَى Maksudnya :” Allah swt melaknat orang lelaki dan perempuan yang melukis tatu, yang menyambung rambut dan yang menjarangkan gigi untuk kelihatan cantik dan yang mengubah ciptaan pemberian Allah.” (Riwayat al-Bukhari) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.