Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum ustaz/ustazah.. semoga sentiasa dirahmati Allah. Saya ada soalan harap sudi Menjawab soalan saya. Baru-baru ini saya diuji dengan kematian anak dalam kandungan. Saya ada menangis kerana bersedih tapi dengan suara yg perlahan. Adakah tangisan itu dikira meratapi kematian dan tidak redha dengan ujian Allah?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, tangisan tersebut tidaklah dianggap sebagai meratapi kematian dengan maksud tidak redha dengan ujian Allah. Ia adalah lumrah bagi sifat manusia apabila berlakunya sesuatu musibah. Sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Anas RA katanya yang bermaksud : "Kami pergi dengan Rasulullah SAW kepada Abu Saif tukang besi yang sesusu dengan Ibrahim. Rasulullah mengambil Ibrahim lalu menciumnya. Tidak lama sesudah itu kami datang pula kepadanya, tetapi ketika itu Ibrahim telah menghembuskan nafasnya yang penghabisan, dan air mata Rasulullah berlinang kerananya." Abdurrahman bin 'Auf berkata: "Ya, Rasulullah! Kenapa engkau menangis?" Jawab Rasulullah, "Hai, Ibnu 'Auf! Sesungguhnya yang demikian adalah kasih mesra". Abdullah mengulangi perkataannya. Sabda Rasulullah SAW; "Air mata mengalir, hati penuh duka, namun tidak ada kata-kata yang kami ucapkan melainkan apa yang diredhai Allah jua. Dan sesungguhnya perpisahan kami dengan engkau, hai Ibrahim, amat menyedihkan". (Riwayat al-Bukhari) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.