Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum, 1) Saya ingin bertanya tentang status pernyataan ini: "Tengok VIDEO LUCAH? 44 hari ALLAH akan gelapkan HATI kita dan tidak mendapat CAHAYA HIDAYAH DARINYA :') MASYAALLAH !! TOLONG SEBARKAN* 2) Saya juga mahu status pernyataan ini. Saya akan memberi link ke pernyataan itu kerana ia terlalu panjang. http://www.nizarazu.com/dosa-yang-tak-akan-putus-ketika-menggunakan-internet/ Sekian, Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, 1. Pernyataan tersebut sekadar peringatan/ nasihat yang boleh di ambil pengajaran. Perbuatan melihat video lucah adalah haram dan berdosa serta merosakkan akhlak sebagai seorang muslim. Firman Allah SWT; Maksudnya : “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. (an-Nuur : 30) Pelakunya hendaklah bertaubat dan tidak mengulangi perbuatan tersebut. 2. Kesimpulannya, apa-apa dosa yang dilakukan oleh setiap muslim sama ada di internet atau di mana-mana jua, pelakunya hendaklah segera bertaubat sebelum terlambat. Berusaha untuk menjadi seorang mukmin yang bertaqwa dan berakhlak dalam menjalani kehidupan mengikut garis panduan Islam. Sentiasa bermuhasabah dan jauhkan dari melakukan dosa. Begitu juga apa-apa post, share yang dilakukan di media seperti Facebook, WhatsApp, Twitter dan seumpamanya hendaklah segera dipadam dan mohon maaf pada semua pihak, sebaiknya tutup akaun tersebut agar tidak menjadi fitnah ke atas mereka yang telah bertaubat. Seterusnya jangan mudah menyebarkan apa-apa pernyataan yang tidak pasti kesahihannya. Ia juga boleh mengundang dosa dan menjadi kesalahan di sisi undang-undang komunikasi di media. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.