Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Saya berkerja sebagai kerani dah tugas saya adalah mengumpul dan merekodkan resit-resit untuk tujuan tuntutan wang daripada Finance. Di antara resit-resit tersebut ada resit untuk pembelian Arak untuk tunjuan hiburan/meeting. Adakah saya dikira bersubahat dalam penjualan/pembelian arak ini? Pembayaran tuntutan ini dibuat oleh pihak Finance
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, arak merupakan satu perkara yang diharamkan secara jelas dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Betapa besarnya mudarat arak sehingga Islam mengharamkan kita daripada melibatkan diri dengan sebarang urusan yang melibatkan arak. Sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA: لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ، وَسَاقِيَهَا، وَبَائِعَهَا، وَآكِلَ ثَمَنِهَا، وَالمُشْتَرِي لَهَا، وَالمُشْتَرَاةُ لَهُ Maksudnya: Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: “Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya.” (Riwayat al-Tirmizi) Justeru itu, walaupun bertugas sekadar mengumpul dan merekodkan segala resit-resit pembelian untuk tujuan tuntutan wang daripada pihak kewangan lebih-lebih lagi yang sememangnya melibatkan arak adalah dianggap sebagai bersubahat dalam melakukan kemaksiatan dan ia dilarang sama sekali. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.