Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, Jika pelaburan di dalam syarikat yang menjamin pulangan tetap, contohnya pada kadar 4% sebulan dari nilai modal, adakah pulangan ini halal? Syarikat tersebut menawarkan perkhidmatan untuk tolong melaburkan modal pelabur di pasaran saham. Jika pelabur melabur RM10000, dia akan mendapat RM400 setiap bulan selama 12 bulan, dan modalnya sebanyak RM10000 itu akan dipulangkan kembali selepas 12 bulan. Syarikat tersebut mengatakan sistem mereka patuh syariah kerana melabur di kaunter2 patuh syariah dan mereka boleh menjamin pulangan kerana mereka pelabur besar dan berpengalaman yang memang akan sentiasa mendapat keuntungan. Mereka menggunakan wang pelabur untuk melabur saham dan apa2 keuntungan melebihi 4% sebulan itulah yang mereka akan simpan. 4% itu yang dijamin akan diberi kepada pelabur. Ini menjadi motivasi kepada mereka untuk memastikan mereka mencapai keuntungan tertinggi. Yang saya faham, syarikat pelabur itu yang menanggung risiko perniagaan, kerana mereka yang terdedah kepada turun naik harga saham. Dari sudut pelabur pula, mereka tidak menanggung risiko kerana pulangan yang dijamin. Adakah pulangan yang diterima pelabur itu halal atau sebaliknya?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, Sebarang pelaburan yang menjamin keuntungan secara tetap adalah haram kerana ia mengandungi unsur riba dan gharar. Berdasarkan fatwa yang berkaitan perniagaan dan pelaburan terdapat beberapa kriteria yang dijadikan panduan dalam perkara ini agar ia tidak bertentangan dengan syarak. Antara perkara-perkara yang perlu dielakkan adalah seperti berikut:- 1. Gharar – Ketidak tentuan, ketidak pastian, tidak jelas, iaitu suatu keadaan di mana terdapat sesuatu yang disembunyikan oleh sebelah pihak dan ianya boleh menimbulkan ketidak adilan serta penganiayaan kepada pihak lain yang terlibat. 2. Maisir – Iaitu suatu kontrak yang ada kaitannya dengan gharar yang boleh membawa kepada maisir iaitu judi, apabila satu pihak mengambil keuntungan atas kerugian pihak-pihak lain yang terlibat. 3. Riba – Bebas daripada unsur-unsur riba. Sepertimana firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Orang-orang Yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang Yang dirasuk Syaitan Dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: "Bahawa Sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba". padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. oleh itu sesiapa Yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa Yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. dan sesiapa Yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya”. (Surah al-Baqarah: 275). والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.