Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum, saya mempunyai persoalan berkaitan dam umrah. Saya berharap tuan dapat membantu menyelesaikan keraguan dan kerisauan saya. Semasa umrah pertama saya mempunyai masalah angin dan saya telah mengambil wuduk beberapa kali, sebelum saya melakukan tawaf saya cuba menahan angin tetapi saya was-was jika wuduk saya terbatal sewaktu saya bergerak tetapi saya tetap meneruskan umrah saya kerana saya cuba melawan perasaan itu. Kemudian saya melakukan umrah yang kedua dan Alhamdulillah semuanya sempurna. Tetapi setelah saya pulang ke Malaysia, saya rasa tak sedap hati memikirkan bagaimana jika umrah saya yang pertama itu tidak sah kerana saya keliru, penat dan sebagainya. Hati saya kuat mengatakan saya memang ada mengeluarkan angin sewaktu itu. 1. Persoalan saya sekiranya umrah pertama saya tidak sah, dan diantara umrah pertama dan kedua itu saya ada melakukan larangan ihram, dan saya tidak membayar dam, adakah saya masih dalam ihram setelah saya pulang ke Malaysia? 2. Sekiranya saya bercerai dan berkahwin tanpa membayar dam, adakah perceraian dan perkahwinan saya sah?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, 1. Untuk umrah yang pertama, puan telah berulangkali memperbaharui wuduk atas sebab ragu-ragu. Maka sebenarnya wuduk puan adalah sah. Justeru tawaf dan umrah puan adalah sah. Perasaan dan pemikiran puan yang kuat ada mengeluarkan angin setelah balik ke Malaysia juga merupakan perasaan ragu-ragu, yang tidak membatalkan yang yakin. Adalah dinasihatkan puan perlu melawan perasaan ragu-ragu tersebut sebelum bertambah serius lagi yang akan mengganggu kehidupan puan khususnya dalam melaksanakan ibadah. Oleh itu tidak ada larangan yang puan lakukan dan tidak ada dam yang perlu dibayar. 2. Dam dikenakan kepada jamaah haji atau umrah kerana meninggalkan larangan yang diwajibkan. Meninggalkan perkara wajib tidak membatalkan haji atau umrahnya. Ia akan terus menjadi tanggungan selama belum dibayarnya. Oleh itu perceraian dan perkahwinan yang dilakukan tanpa membayar dam adalah sah setelah selesai haji/ umrahnya (bertahallul). والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.