Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: assalamualaikum ustaz. saya tinggal di batu cheras. Mengikut kata bapa mertua saya, tanah yang saya tinggal sekarang ini kepunyaan bapa saudaranya dan di serah ke atasnya jika sekiranya beliau berkahwin dgn ibu mertua saya sekarang ini. Setelah berkahwin, tanah tersebut di letakan atas nama ibu mertua saya. Atas sebab-sebab yang tertentu, Arwah bapa mertua saya ini adalah seorang tentera dan semasa beliau bertugas, Abang kepada emak mertua saya ini telah menukar nama sebahagian tanah ini keatas nama adik pada ibu mertua saya. Adik kepada ibu mertua saya tahu yang tanah itu bukan kepunyaanya . semasa hayat dia hidup dia pernah meminta duit kepada adik beradik suami saya, sebagai sagu hati sebanyak 10 ribu jika lelaki dan perempuan 5 ribu. Tapi atas desakan hidup adik beradik suami saya tidak dapat memenuhi permintaanya. bapa mertua saya telah menyarankan suami saya buat rumah sewa di atas tanah itu. Untuk pengetahuan ustaz, suami saya buat rumah 2 pintu. 1 pintu beliau ambil duit sewa, sementara yang lagi satu di serahkan pada ibu sebagai duit belanja setial bulan.. Semenyak dua menjak ini bayak mulut-mulut yang berkata suami saya bagi duit haram pada ibu dia and dia pun makan duit haram jugak. saya nak tahu kedudukan sekarang ini. adakah betul duit haram. apakah cadangan ustaz atas hal ini. untuk pengetahuan ustaz, ibu mertua saya ini berasal dari batu 10 jugak dan tanah pusaka yang sepatutnya beliau dapat tapi beliau tidak mendapat hak ke atas tanah itu atas alasan beliau sudah mepunyai tanah sekarang.saya amat meminta jasa baik ustaz untuk menyelesaikan hal ini.
Jawapan
Panggilan telefon yang telah dibuat pada 3 September 2020 bagi mendapatkan penjelasan lanjut telah dibuat berkaitan dengan permasalahan yang berlaku. 1. Status haram atau tidak berkaitan dengan hasil sewaan rumah atas dari sebahagian tanah makcik (adik kepada ibu mertua) itu adalah bergantung kepada keizinannya. Kerana namanya termaktub dalam pemilikan tanah tersebut (geran). Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil." (an-Nisa' : 29) Jika difahami, ada tuntutan saguhati oleh makcik tersebut sebanyak RM 10,000.00 atau RM 5,000.00 sebagai ganti untuk penukaran nama tanah tersebut. Diperkirakan, ini adalah janji yang sewajarnya dipenuhi oleh pihak puan sekeluarga. Sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Orang muslim itu berpegang pada janji mereka.” (Riwayat Abu Daud) 2. Cadangan kami bagi masalah ini adalah: a. Perbincangan secara hikmah antara keluarga perlu dilaksanakan bagi memastikan ikatan silaturrahim antara keluarga kekal terjalin tanpa dirosakkan dengan masalah berkaitan tanah ini. Keizinan kepada keluarga makcik tersebut perlu diselesaikan berkaitan dengan hasil sewaan di atas tanah tersebut. b. Jika dipersetujui, penukaran nama perlu dilaksanakan segera yang mungkin bagi memastikan tiadanya perkara berbangkit pada masa hadapan berkaitan tanah ini dan persetujuan ini tidak merugikan mana-mana pihak. Berkemungkinan pihak puan boleh mengusahakan untuk membayar waris makcik tersebut sejumlah wang yang telah diminta semasa makcik tersebut masih hidup iaitu RM 10,000.00 atau RM 5,000.00. c. Jika pihak waris makcik tersebut menuntut apa-apa pembayaran dari hasil mendirikan rumah sewa atau mereka tidak mahu menukar nama tanah tersebut, ia adalah hak mereka kerana secara undang-undang nama yang ada dalam geran tanah adalah bukti pemilikan yang sah. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.