BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum. Saya Ada satu permasalahan yang saya mohon jasa baik pihak tuan untuk jelaskan agar perkara ini tidak lagi mengelirukan saya. Saya sebelum ini apabila ada orang bertanyakan dengan saya tentang isu wahabi, saya akan menjawab kepada mereka bahawa saya tidak ada masalah dengan orang-orang yang di kategorikan sebagai wahabi ini. Saya memeberitahu mereka bahawa wahabi ini permasalahan mereka hanya dalam bahagian fiqh dan ibadah, bukannya aqidah seperti golongan syiah. Bagi saya tidak timbul masalah dalam golongan wahabi ini sekiranya mereka beramal dengan amalan yang betul tetapi isu wahabi di Malaysia ini menjadi tular apabila ada dikalangan mereka ini melampau-lampau dalam berdakwah dimana mereka kerap mengatakan semua perkara yang kita lakukan dianggap bidaah dan orang lain dianggap kafir dan ahli neraka. Saya selalu katakan kepada mereka yang bertanya kepada saya sekiranya kita menghukum golongan wahabi ini kafir, tidakkah perbuatan kita ini sama dengan mereka yang suka mengkafirkan orang. Selain itu, saya selalu katakan kepada mereka bahawa orang wahabi ini pemalas, mereka suka menggunakan dalil-dalil mereka untuk bermalas-malas, mereka kata Rasulullah tidak berzikir dan berwirid beramai-ramai selepas solat dan perbuatan kita berwirid beramai-ramai itu bidah tetapi kebanyakkan mereka langsung tidak berwirid selepas solat. Begitu juga dengan membaca yassin pada malam jumaat dikatakan bidah tetapi kebanyakkan mereka tidak membaca al-quran pun pada malam itu. Itu jawapan-jawapan yang saya selalu katakan apabila ditanya tentang wahabi. Tetapi apabila saya mendengar ceramah-ceramah, banyak ustaz mengatakan bahawa wahabi ini bahaya dan menyamakan mereka dengan syiah bahkan ada yang mengatakan mereka lebih bahaya daripada syiah. Ada juga yang mengatakan bahawa wahabi ini bukan dari golongan ahli sunnah wa jamaah di mana sebelum ini saya beranggapan bahawa mereka masih ahli sunnah wa jamaah yang merupakan kelompok kecil daripada mazhab Hambali. Oleh itu, apabila saya cuba mencari bahan bacaan berkaitan tentang bahaya wahabi, banyak yang mengatakan antara bahaya wahabi ini ialah ia menyebarkan konsep "tauhid 3" iaitu "tauhid rubbubiyah,uluhiyyah dan asma wa sifat" sedangkan konsep inilah yang diajar dan diterapkan disekolah. Ada yang mengatakan bahawa konsep ini seolah olah menyamai konsep triniti di dalam kristian dimana "kristian buat tiga kita pun sibuk-sibuk bahagi kepada tiga". Ada juga yang mengatakan konsep ini seolah-olah membahagi-bahagikan Allah s.w.t.. Pada pemahaman saya, konsep ini bertujuan untuk kita lebih memahami dan mengesakan Allah dimana Tauhid rubbubiyyah merujuk kepada bahawa Allah itu wujud, segala apa yang ada di langit dan dibumi merupakan ciptaan Allah dan Allah berkuasa untuk menentukan segala-galanya. Tauhid uluhiyyah pula merujuk kepada hanya Allah yang wajib kita sembah dan tiada tuhan selain Allah, Allah itu satu dan lain-lain lagi. Asma wa sifat pula merujuk kepada nama-nama dan sifat-sifat Allah yang mulia yang wajib kita imani. Namun mengapa ada yang mengatakan bahawa konsep tauhid ini antara sebab wahabi itu bahaya dan perlu kita jauhi. Oleh itu saya mohon jasa baik pihak untuk memberi pencerahan kepada saya dalam isu ini, adakah konsep "tauhid 3" ini memang salah dan bertentangan dengan ajaran ahli sunnah wa jamaah.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, perbezaan pendapat atau khilaf berhubung permasalahan fiqh dalam kalangan ulamak untuk menentukan sesuatu hukum merupakan suatu yang rahmat dan perlu diterima. Perbezaan pendapat ini sudah wujud sejak zaman sahabat yang berterusan hingga lahirnya mazhab fiqh utama seperti Hanafi, Maliki, Syarie dan Hambali serta beberapa kelompok imam mujtahid yang lain. Walaupun ulamak dalam setiap mazhab mempunyai kaedah mengeluarkan hukum yang berbeza, namun ia masih lagi berpandukan sumber yang sama iaitu al-Quran dan al-sunnah. Sebagai umat Islam, kita hendaklah berlapang dada dan menghormati setiap pandangan serta tidak berlebih-lebihan dengan menganggap pandangan pihak lain adalah salah, sesat dan bid’ah atau kafir. Fatwa Negeri Selangor yang diwartakan pada 17 Julai 2014 menyatakan persoalan khilafiah adalah perkara ijtihadiyah dan tidak boleh sama sekali dihukumkan bid’ah kerana amalan tersebut telah diterima dan menjadi amalan ulamak muktabar sejak dahulu. Pandangan jumhur ulamak sewajarnya menjadi ikutan masyarakat Islam dengan mengutamakan perkara asas dalam berdakwah dan tidak membesar-besarkan perkara khilafiyyah yang boleh menggugat perpaduan umat Islam. Berhubung konsep tauhid 3, ia dikatakan sebagai satu kaedah untuk mengenal Allah SWT yang dipelopori oleh Ibnu Taimiyyah. Tauhid ini membicarakan tentang tauhid rububiyyah, tauhid uluhiyyah dan asma’ wa sifat. Namun, terdapat perdebatan dalam kalangan para ulamak tentang konsep tauhid rububiyyah yang mengatakan bahawa semua orang mempunyai tauhid jenis ini tidak kira sama ada muslim akau kafir. Konsep ini bertentangan dengan pegangan ahli sunnah wal jamaah yang mengatakan bahawa tauhid hanya dimiliki oleh orang Islam sahaja. Allah lah yang Esa, yang Maha Berkuasa dan yang layak disembah. Mengenal Allah SWT menurut ahli sunnah wal jamaah melalui pemahaman terhadap sifat 20 adalah lebih tepat. Kaedah ini dipelopori oleh Imam Abu al-Hassan al-Asy’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi yang terkandung di dalamnya sifat nafsiah, sifat salbiah, sifat ma’ani dan sifat ma’nawiah bagi Allah. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2020
Jumlah Pelawat : 205

message user image