BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum ahli kariah SAM yg d rahmati Allah. Rabu minggu lepas AJK Sam d minta untuk menyatakan pendirian SAM mengenai kehadiran kanak kanak semasa solat jemaah lima waktu. Walaupun rasa tak selesa ini tidak di rasakan oleh semua jemaah namun AJK SAM berterima kasih kepada yg inginkan kepastian mengenai isu ini. setelah AJK bermesyuarat dan mengambil kira pendapat beberapa ustaz yg mengambil kira Sunnah Nabi SAW maka ketetapan yg di persetujui ada lah seperti berikut: Kanak kanak tidak mumaiyyiz tidak digalakkan datang ke surau. Definasi tidak mumaiyyiz/tamyiz: Tidak berupaya untuk membezakan yg betul dan yg salah,bersih dan kotor dan sebagainya. Usia mengikut ulamak ialah bawah 7 tahun (lelaki) Kanak kanak yang mumaiyyiz dipersilakan datang dan mengambil posisi bersama ayahnya dan di utamakan mengambil posisi dikiri dan kanan hujung saf. Ibu bapa bertanggungjawab untuk menasihati ,mengajar adab adab solat dan adab adab semasa berada d rumah Allah kepada anak anak sendiri. Imam di minta mengumumkan mengenai kepentingan barisan yg lurus dan rapat mengikut sunnah Nabi SAW setiap kali sebelum memulakan solat. Kami memohon kerjasama ahli jemaah semua untuk pasrah dengan keputusan ini dan digunapakai setiap masa termasuk dalam bulan Ramadhan al Mubarak .semoga allah memberkati kita d bulan rejab dan shaaban dan panjangkan umor kita hingga bertemu ramadhan Wabillahi walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi taala hi wabarakaatuh.. Pernyataan di atas dari ajk surau dekat rumah saya Soalan saya benarkah ianya sunnah nabi? Mohon pencerahan.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, terdapat hadis yang diriwayatkan daripada Abu Qatadah al- Ansori RA katanya : رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى الله عليه وَسَلَّم يَؤُمُّ النَّاسَ وأُمَامَةُ بِنْت أبِي العَاص وَهِيَ ابنَةُ زَيْنَبَ بِنْت النبي صَلَّى الله عليه وَسَلَّم عَلَى عَاتِقِهِ، فَإذَا رَكَعَ وَضَعَهَا وَإِذَا رَفَعَ مِن السُّجُوْدِ أَعَادَهَا . Maksudnya: Aku melihat Nabi s.a.w mengimami solat sedang mendukung Umamah binti Abi al-As yang juga anak perempuan Zainab binti Rasulullah s.a.w. Apabila baginda rukuk diletakkannya dan apabila bangun dari sujud baginda mengangkatnya semula. (Riwayat Muslim) Daripada hadis ini, ada beberapa perkara yang boleh dipelajari: i. Perbuatan Nabi s.a.w. mendukung cucunya Umamah sewaktu mengimami solat menunjukkan tiada halangan membawa masuk kanak-kanak ke dalam masjid. ii. Faedah lain yang boleh diperolehi dari hadis ini juga menunjukkan bahawa kanak-kanak yang belum mumaiyiz tidak membatalkan solat seseorang seperti yang disalah fahami oleh sebahagian pihak dengan menyatakan sekiranya kanak-kanak berada di dalam satu saf dengan orang dewasa akan menyebabkan satu saf terbatal. Kesimpulannya sekiranya kanak-kanak yang mencapai umur mumaiyiz iaitu dalam lingkungan tujuh tahun ke atas, maka tidak dihalang membawa anak-anak ke masjid bahkan ianya digalakkan sebagai latihan untuk membiasakan mereka bersolat di masjid. Adapun kanak-kanak yang kurang dari umur tujuh tahun atau yang belum mumaiyiz maka ia tidak digalakkan kecuali sekiranya boleh dikawal dari mengganggu orang lain atau mengotorkan masjid. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2018
Jumlah Pelawat : 159

message user image