Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, Saya ada kemusykilan tentang isu makanan. Saya sekarang berada di Korea Selatan dan dihidangkan daging dan udang goreng sebagai makanan quarantine. Saya difahami sejak dari kecil daging yang tidak disembelih mengikut kaedah Islam tidak boleh disentuhi. Tetapi, saya juga ada dengar yang ianya boleh dimakan dengan alasan berada di luar negara di mana makanan adalah terhad (quarantine) dan boleh berniat dengan Tawakkal dan baca Bismillah. Boleh Tuan/Puan menjelaskan lebih lanjut mengenai kemusykilan ini?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, keadaan yang dialami semasa saudara berada di luar negara tidak dikategorikan sebagai darurat walaupun dalam tempoh kuarantin, kerana masih boleh memperolehi bekalan makanan. Justeru, jika boleh buat pilihan makanlah makanan yang halal dimakan. Jika dihidang dengan daging yang diketahui tidak disembelih mengikut syariat, hukumnya adalah haram dimakan. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Diharamkan kepada kamu memakan bangkai (binatang yang tidak disembelih), darah yang keluar mengalir, daging babi (termasuk semua anggota tubuhnya), binatang yang tidak disembelih kerana Allah”. (al-Maidah : 3) Justeru, pilihan makanan yang masih ada adalah udang goreng yang disediakan oleh mereka. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.