Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Saya nak tanya, apa hukum jika saya bersama dengan suami sesudah habis haid dan mandi wajib. saya sudah cek tiada darah lagi yang keluar. Namum keesokkan harinya, darah period saya keluar lagi. Jadi, apa hukum saya bersama suami malam sebelum tu? Adakah saya dan suami berdosa? Dan apa yang perlu saya lakukan? Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, dalam mazhab Syafie tempoh “النَقَاء”, yang masih belum melebihi 15 hari dikira sebagai haid. Justeru berdosa hukumnya jika berjimak dalam tempoh tersebut. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: "Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat". Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.” (al-Baqarah : 222) Justeru, puan perlu tunggu sehingga betul-betul kering haid sebelum mandi wajib. Tiada kaffarah dikenakan ke atas perbuatan tersebut. Hendaklah bertaubat dan tidak mengulanginya lagi. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.