Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. saya suka melukis, saya melukis lebih ke arah kartun macam anime dan komik. kebanyakannya saya melukis gambar yang bernyawa macam melukis manusia satu badan penuh, sempurna ada badan, kepala, kaki semua. saya melukis lebih kearah hiburan dan hobi, saya ada membaca tentang lukisan tetapi ada yang cakap haram dan ada yang cakap boleh tetapi dengan syarat. saya juga terbaca hadis: Dari Ibnu, dia berkata, “Rasulullah SAW bersabda, "Siapa yang menggambar suatu gambar dari sesuatu yang bernyawa di dunia, maka dia akan diminta untuk meniupkan ruh kepada gambarnya itu kelak di hari akhir, sedangkan dia tidak kuasa untuk meniupkannya.’” dan beberapa hadis berkaitan lukisan. Ada yang berpendapat hadis itu ditujukan ke arah pembuatan patung atau melukis/mengukir benda hidup/bernyawa seperti 3 dimensi yang mempunyai bentuk atau jisim dan bayang adalah haram. manakala bagi melukis benda hidup/bernyawa seperti 2 dimensi tak ada bentuk atau jisim dan tidak ada bayang seperti melukis di atas kertas ataupun melukis secara digital di komputer dibolehkan dengan syarat tertentu. Jadi persoalan saya adalah: 1. Bagaimanakah kedudukan melukis potret atau satu badan manusia yang lengkap dan objek bernyawa dalam hukum Islam. 2.adakah melukis benda hidup seperti manusia dan binatang dalam bentuk kartun, anime dan komik boleh atau tidak?3.Adakah ciri sesuatu potret atau lukisan manusia yang lengkap yang dihasilkan, iaitu 'berwarna' (menyerupai wajah sebenar yang dilukis), atau 'hitam putih' (menyerupai wajah sebenar tetapi tidak berwarna) menjadi penentu dalam mengharuskan penghasilan potret tersebut tidak kira la dalam bentuk kartun, anime dan komik? 4.macam mana pula dari segi animasi 3d macam ejen ali dan upinipin? adakah animasi termasuk dalam 2 dimensi seperti melukis di kertas?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Tegahan asal kepada isu ini adalah sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Umar RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya mereka yang membuat gambar-gambar akan disiksa pada hari kiamat. Akan dikatakan kepada mereka: Hidupkanlah apa yang kalian ciptakan. (Riwayat al-Bukhari & Muslim)
1. Menjawab soalan (1 dan 3). Pelukis yanng melukis potret lengkap satu badan adalah menyerupai apa yang ditegah oleh sabda Nabi SAW di atas dan larangannya adalah kekal sama ada ianya berwarna ataupun tidak. Lukisan yang diharuskan adalah bagi lukisan seperti pokok atau sesuatu yang tidak bernyawa. Sebagaimana disebutkan Ibnu Abbas RA menyatakan :
Maksudnya: Jika engkau masih tetap ingin melukis, maka gambarlah pohon atau segala sesuatu yang tidak memiliki roh. (Riwayat al-Bukhari)
2. Menjawab soalan (2). Lukisan dalam bentuk anime, kartun dan komik kebiasaannya adalah lukisan yang bersifat 3D, 2D atau sebagainya (teknik lukisan) yang jika dilihat lukisannya tidak menyerupai sepenuhnya realiti gambaran kepada sesuatu yang bernyawa sebagaimana lukisan potret. Kebanyakkan lukisan kartun dan anime bertujuan pendidikan, hiburan kanak-kanak dan dewasa. Oleh itu ia adalah harus dengan isi kandungan yang bermanfaat (tiada unsur lucah dan melanggar akidah).
3. Menjawab soalan (4). Memetik pendapat Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, beliau mengatakan: "penggunaan lukisan dalam media massa dengan tujuan berdakwah dan pembelajaran tidak termasuk dalam yang diharamkan bahkan sesuatu yang dituntut oleh syara".
Kesimpulan, lukisan potret sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW adalah keharaman yang jelas dalam pelbagai bentuk lukisan. Adapun lukisan anime, kartun dan komik adalah diharuskan kerana ianya lukisan tidak menggambarkan realiti lukisan sebenar selain tujuan kepadanya adalah untuk pendidikan dan dakwah.