Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum, Saya sedang belajar tentang bab taharah dan mempunyai kemusykilan. Saya tahu najis dimaafkan termasuk darah, nanah sedikit. Tetapi, saya juga lihat bahawa ianya tidak dimaafkan jika termasuk air atau cairan. Jikalau hidung mempunyai sedikit kudis yang mempunyai sedikit darah dan ianya bercampur dengan hingus, adakah seluruhnya bernajis? Haruskah saya membasuh segala yang saya sentuh lepas tangan terkena hingus itu?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, hingus tidak dihukumkan najis dan tidak membatalkan wuduk walaupun ia bercampur dengan sedikit darah kudis di hidung. Hendaklah membasuh tangan yang terkena hingus dan basuh/ bersihkan tempat yang terkena hingus kerana ia adalah sesuatu yang kotor. Benda yang kotor hendaklah dibersihkan. Firman Allah SWT; إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ Maksudnya : “SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.” (al-Baqarah : 222) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.