Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Saya ada soalan berkaitan najis mughallazah. Yg sedia diketahui najis mughallazah wajib samak. Tapi bila kejadian berlaku, tak tahu pula nak cari tanah di mana. Kawasan tempat kerja saya banyak anjing berkeliaran dan ramai orang non muslim. Najis anjing memang sedaya upaya dielak, tapi adakala orang memijaknya sampai masuk ke tempat kerja. Biasanya cleaner mop saja. Kawasan solat pun dimop dgn mop yg sama. Kalau kena carpet ada staf yg cuci dekat toilet. Saya mulanya was-was tapi fikiran tenang sikit bila orang kata kalau kesukararan memadai najis mughallazah dicuci dgn air yg banyak. Tapi saya tak pasti pendapat itu sahih atau tidak. Ada satu perkara ni buat saya susah hati. Suatu hari ada kanak-kanak yg terpijak najis anjing masuk ke tempat kerja. Lepas itu dia naik berdiri atas kerusi tempat orang menunggu nombor giliran dgn seliparnya dan najis tu kena pada tempat duduk. Jadi kami minta tolong staf non muslim yg mop. Perkara tu sudah berbulan-bulan berlalu tapi saya was-was untuk duduk di kerusi tersebut.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, adalah mustahil tiada tanah yang berada di kawasan sekitar, boleh ambil tanah dalam pasu atau ambil tanah dari kawasan rumah. Ikhtiarkan untuk menyucikan najis mughallazah tersebut. Oleh kerana tahu ada orang yang memijak najis anjing, maka ia tidak boleh dicuci dengan hanya mop sahaja. Dan tidak memadai najis mughallazah dicuci dengan air yang banyak. Ia perlu disertu, sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda; طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ Maksudnya : “Sucinya bekas air seseorang di antara kalian jika dijilat anjing adalah dengan dicuci sebanyak tujuh kali, permulaannya dicampur dengan tanah.” (Riwayat Muslim) Cara menyucikan najis anjing: 1. Buang najis terlebih dahulu. 2. Basuh tempat yang terkena najis anjing itu dengan air yang bercampur tanah (sekali sahaja). 3. Bilas dengan air biasa yang suci sebanyak enam kali. Jika kerusi itu terdapat ain dan sifat (bau, warna dan rasa) najis anjing maka wajib menyucikan mengikut kaedah di atas. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.