Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Apakah hukum mengambil kucing orang lain tanpa izin. Kucing jiran Saya tidak mahu tinggal di rumahnya dan sanggup kelaparan .oleh kerana kasihan saya telah menjaganya sehingga dia sihat. beberapa Bulan kemudian tuannya datang mahu mengambilnya tetapi kucing itu Lari dan tidak mahu .jika saya pulang ke kampung kucing itu tidak dapat mencari sebarang makanan dan kelaparan .minggu hadapan saya akan berpindah ke negeri lain dan Saya risaukan akan keselamatannya. saya telah meminta izin kepada tuan nya untuk menjaganya tetapi dia tidak mahu & dalam masa yang sama dia pula tidak ada usaha untuk menjaga kucing tersebut dan membiarkannya begitu sahaja .Apakah berdosa sekiranya saya membawa kucing itu berpindah sekali tanpa pengetahuan tuannya .Apakah hukumnya
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, adalah menjadi kesalahan dan berdosa sekiranya puan berpindah dengan membawa bersama kucing tersebut kerana kucing tersebut masih bertuan. Jika bimbang akan keselamatan kucing tersebut pihak puan bolehlah membuat aduan kepada pihak polis agar tindakan dapat diambil terhadap tuan punya kucing yang mengabaikan keselamatan haiwan tersebut di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015. Terdapat hadis berkaitan seseorang yang mengabaikan kucing peliharaannya sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abdullah RA, katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Seorang wanita diseksa Allah pada hari kiamat lantaran dia mengurung seekor kucing sehingga kucing itu mati. Kerana itu Allah SWT memasukkannya ke neraka. Kucing itu dikurungnya tanpa diberi makan dan minum dan tidak pula dilepaskannya supaya ia dapat menangkap makanannya yang terdapat di bumi." (Riwayat Muslim) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.