Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Saya ada dua soalan. Soalan pertama, bolehkah seorang isteri menggunakan alasan 'orang lain tak faham situasi dan perangai sebenar suami' sebagai tiket untuk bersikap kasar dari segi perkataan dan perbuatan terhadap suami? Soalan kedua, saya dulu pernah bekerja di sebuah pasaraya dalam bahagian penerimaan barang termasuk arak dan babi. Tetapi ketika itu saya tidak tahu hukum bekerja bahagian itu. Baru-baru ini, saya mendengar ceramah. Kata uztaz tersebut jika bekerja berkaitan arak dan babi menjadikan gaji tidak berkat dan solat tidak akan diterima. Soalan saya, adakah saya perlu mengqada kesemua solat saya semasa bekerja di pasaraya tersebut?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, 1. Kekasaran dalam menyampaikan pendapat khususnya kepada suami adalah tindakan yang tidak wajar sama sekali, apatah lagi berkasar dalam tindakan (memukul dan sebagainya). Sebagaimana hadis Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Dan aku melihat neraka. Aku belum pernah sama sekali melihat pemandangan seperti hari ini. Dan aku lihat ternyata majoriti penghuninya adalah para wanita." Mereka bertanya, "Kenapa para wanita menjadi majoriti penghuni neraka, ya Rasulullah?" Beliau menjawab, "Disebabkan kekufuran mereka." Ada yang bertanya kepada beliau, "Apakah para wanita itu kufur kepada Allah?" Beliau menjawab, "(Tidak, melainkan) mereka kufur kepada suami dan mengkufuri kebaikan (suami)” (Riwayat al-Bukhari) 2. Adapun bekerja secara langsung dengan arak, dosanya tergolong dalam 10 golongan yang dilaknat Allah SWT disebabkan pekerjaannya itu. Sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Anas RA, bahawa Rasulallah SAW bersabda yang bermaksud: ”Telah melaknat sepuluh golongan yang terlibat dengan arak, orang yang memerah arak, orang yang diminta arak diperah untuknya, orang yang meminumnya, orang yang membawanya, orang yang meminta dibawa arak kepadanya, orang yang memberi minum arak kepada orang lain, orang yang menjual arak, orang yang mendapat hasil daripada arak, orang yang membeli arak, orang yang meminta dibelikan arak untuknya” (Riwayat al-Tirmizi) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.