Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Rumah kawan saya mempunyai patung kuda kayu yang dijadikan perhiasan. Adakah kawan saya itu telah menjadi syirik/kafir kerana menjadikan patung kuda itu sebagai hiasan di dalam rumahnya.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, tidak menjadi syirik seseorang itu selagi mana patung perhiasaan tersebut bukan bertujuan untuk diagung-agungkan atau disembah atau diyakini membawa tuah dan yang seumpamanya. Adapun sebagai seorang Muslim adalah dilarang dan diharamkan untuk menghiasi rumahnya dengan patung kerana, malaikat tidak memasuki rumahnya untuk membawa rahmat kepada penghuni rumah tersebut. Perbuatan itu juga menyerupai orang kafir di mana mereka biasa meletakkan patung-patung dalam rumah mereka untuk diagungkan. Kita juga dilarang mengikuti dan menyerupai perbuatan orang kafir. Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. katanya : قال رسول الله ﷺ لا تدخل الملائكة بيتا تماثيل او تصاوير Maksudnya : “Rasulullah SAW bersabda : “Malaikat tidak mahu masuk ke rumah yang di dalamnya terdapat patung-patung atau gambar-gambar”. (Riwayat Muslim) Islam sangat menitikberatkan soal akidah dan syariat. Segala amalan dan perbuatan yang tidak berdasarkan kepada sumber yang asal seperti al-Quran, hadith, ijmak dan qias adalah ditolak dalam Islam. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.