Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Saya ingin bertanya, di dalam syarikat saya, saya menguruskan bahagian pembayaran balik resit yang di claim. kadang bos saya memberikan resit pembelian arak untuk kegunaannya. Adakah saya berdosa kerana terlibat dalam pembayan balik duit syarikat kepadanya atas pembelian alkoholnya itu? Mohon pencerahan ustaz. Terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, arak merupakan satu perkara yang diharamkan secara jelas dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Betapa besarnya mudharat arak sehingga Islam mengharamkan kita daripada melibatkan diri dengan sebarang urusan yang berkaitan dengannya. Sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA: لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ، وَسَاقِيَهَا، وَبَائِعَهَا، وَآكِلَ ثَمَنِهَا، وَالمُشْتَرِي لَهَا، وَالمُشْتَرَاةُ لَهُ Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: “Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya” (Riwayat al-Tirmizi) Justeru, tugas mengurus claim resit pembelian arak adalah dianggap sebagai bersubahat dalam melakukan kemaksiatan dan ia dilarang sama sekali. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan, dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)” (al-Maidah : 2) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.