BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Soalan: Asmlkm...saya ingin bertanya tentang masalah haid,saya mengalami haid yang terlalu lama melebihi 15 hari,selepas hari ke 15 saya terus mandi wajib dan bersolat seperti biasa,akhir akhir ini darah keluar seakan tidak ada tanda untuk berhenti,soalan saya,bagaimana saya ingin tahu waktu haid saya sedangkan darah terus keluar tanpa ada penghujungnya dan bagaimana saya ingin tentukan waktu untuk saya mandi wajib untuk solat...harap pihak tuan dapat membantu masalah yang saya hadapi ...


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan, caranya ialah puan boleh tentukan berdasarkan waktu kebiasaan haid puan sebelum ini. Jika darah masih lagi keluar selepas hari ke 15, ia merupakan darah istihadah. Puan hendaklah mandi wajib dan solat seperti biasa, kerana wanita yang berada dalam istihadah adalah suci. Dalil yang diriwayatkan daripada Aisyah RA, menerangkan bahawa Fatimah binti Abi Hubaisy RA, pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: إنى امرأة استحاض فلا أطهر افأدع الصلاة؟ فقال : لا، إنما ذلك عرق وليس بالحيضة فإذا أقبلت الحيضة فدعي الصلاة وإذا أدبرت فاغسلي عنك الدم وصلي Maksudnya : “Sesungguhnya aku seorang wanita yang istihadah, maka aku tidak suci. Adakah aku perlu meninggalkan solat?”. Rasulullah SAW menjawab: “Tidak, sesungguhnya itu ialah ‘irq (penyakit). Tinggalkan solat pada kadar haid yang kebiasaan bagi kamu, kemudian hendaklah kamu mandi dan dirikan solat”. (Riwayat Muslim) Bagi wanita yang mengalami istihadah, tidak perlu untuk mandi wajib setiap kali darah istihadah keluar, kerana darah istihadah bukanlah darah haid. Ia adalah darah penyakit. Hendaklah dicuci sebelum berwuduk bagi menunaikan solat fardhu. Wanita yang beristihadah boleh solat dan puasa seperti biasa, satu wuduk untuk satu solat fardhu, adapun solat sunat boleh berbilang-bilang. Disamping itu, dinasihatkan juga agar puan merujuk masalah pendarahan ini dengan doktor pakar agar dapat dikenalpasti punca dan cara rawatannya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2020
Jumlah Pelawat : 161

message user image