Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: assalamualaikum, jika saya bekerja di bahagian IT membuat sistem untuk beratus syarikat dan salah satu syarikat berkenaan adalah kilang arak. apakah status pekerjaan saya. adakah halal atau haram?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, orang yang bekerja di sektor yang menyokong sistem yang memang jelas digunakan untuk operasi kilang arak, hukumnya adalah haram, dan tetap tidak dibenarkan kerana dalam kaedah Islam ada disebutkan “Membantu perbuatan dosa adalah berdosa”. Firman Allah SWT : ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ Maksudnya : “...dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)”. (al-Maaidah : 2) Hadis yang diriwayatkan daripada Abdul Rahman bin Abdullah al-Ghafiqi dan Abu Tu’mah bahawa mereka mendengar Ibnu Umar mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda; لعنت الخمر على عشرة أوجه : بعينها وعاصرها ومعتصرها وبائعها ومبتاعها وحاملها والمحمولة إليه وآكل ثمنها وشاربها وساقيها Maksudnya : “Terlaknat arak pada sepuluh segi; ‘Ainnya, Orang yang memerasnya, Orang yang menyuruhnya, Orang yang menjualnya, Orang yang membelinya, Orang yang membawanya, Orang yang dibawakannya, Orang yang makan harganya, Orang yang meminumnya dan Orang yang memberi minum arak”. (Riwayat Ibnu Majah) Berkenaan Carlsberg, menggunakan khidmat dengan TNB, maka ia berbeza dan hukumnya harus. Manakala sistem IT, digunakan bagi membantu Carlsberg, hukumnya tidak harus, kerana “makan daripada harganya” – hasil pendapatan dari menyokong sistem kilang Carlsberg. Bagi syarikat IT yang ada membuat urusniaga dengan kilang arak, jika pemilik syarikat IT adalah muslim, maka hendaklah ditolak urusniaga tersebut. Namun, jika syarikat IT milik bukan muslim, maka adalah wajar kerja-kerja yang berkaitan dengan urusan arak diserahkan kepada pekerja yang bukan muslim. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.