Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamua'laikum warahmatullahi wabarokatuh Jabatan Mufti Negeri Selangor. Maaf jika menganggu. Ada beberapa soalan yang saya ingin bertanya. Contoh situasi begini: Saya ingin ke rumah seseorang, tetapi sebelum itu, saya harus melalui pegawai keselamatan dahulu. Saya menipu pegawai keselamatan itu untuk masuk ke kawasan perumahan itu. Jadi, apakah hukumnya? Setelah itu, apabila sampainya destinasi saya ke rumah seseorang itu, saya telah mendapat hadiah atau buah tangan daripada tuan rumah. Apakah status buah tangan itu, halal untuk digunakan atau tidak? Oleh kerana saya memasuki kawasan dengan cara menipu, jika ia haram, adakah segala aktiviti yang saya lakukan selepas itu berkait haramnya? Bagaimana pula jika hadiah itu dalam bentuk wang ringgit? Halal digunakan atau tidak? Contoh situasi kedua, lebih kurang situasi pertama sebenarnya, begini: Saya ingin menggunakan kereta seseorang, tetapi orang itu tidak membenarkan saya menggunakannya. Saya tetap guna juga untuk ke tempat yang saya ingin pergi. Selepas sampai ke destinasi, saya mendapat hadiah atau buah tangan dari seseorang yang saya temui di destinasi itu, apakah status hadiah yang saya dapat itu, halal atau tidak oleh kerana saya sampai ke destinasi menggunakan kenderaan yang tak diizinkan saya untuk guna? Yang menjadi kemusykilan utama saya, adakah boleh berkaitnya haram dari satu perkara haram yang kita lakukan? Seperti situasi-situasi yang saya nyatakan di atas. Maaf jika terlalu panjang. Harap Jabatan Mufti Negeri Selangor dapat menjawab soalan-soalan saya ini. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, dalam situasi pertama hukumnya berdosa kerana menipu. Berkaitan dengan menipu terdapat hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda : من غشنا فليس منا Maksudnya : “Siapa yang menipu bukan dari kalangan kami”. (Riwayat Muslim) Manakala dalam situasi kedua berdosa kerana menggunakan kereta tanpa kebenaran pemiliknya. Hadiah atau buah tangan yang diterima daripada pemberian orang tersebut adalah halal, kerana ia adalah hadiah atau pemberian yang tidak ada kaitan dengan cara bagaimana saudara datang. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.