Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Sebelum ni saya jahil. Bab agama kurang kesedaran dan kefahaman. Saya banyak tinggal solat dan puasa. Alhamdulillah. Tahun 2018 yang lalu, saya dah bertaubat dan memahami agama islam sedikit demi sedikit. Saya mula solat penuh 5 waktu dan usaha ganti puasa. Masalahnya adalah saya yang sebelum ni kurang ambil berat soal puasa. Saya puasa tapi ada tinggal dan saya tak ingat pun berapa yang tinggal berapa yg ganti. Biasa saya haid dalam 15 hari. Mengenai puasa ganti tu in shaa allah perlahan2 saya usahakan tapi masalahnya fidyah tu saya tak tau nak kira mcm mana. Dan setiap kali nak bayar tu kan, setiap kali tu la keluarga nak pakai duit. Saya tak tahu nak buat apa, nak dahulukan yang mana. Sebab keluarga bukan orang senang dan selalu ada masalah kewangan.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, hukum membayar fidyah adalah wajib. Ia wajib disempurnakan mengikut bilangan hari puasa yang ditinggalkan, sekiranya lebih dua Ramadhan. Ia juga menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan. Oleh itu, puan perlu mendahulukan membayar fidyah dari perkara yang lain. Jika puan melewat-lewatkan dari membayar fidyah, maka puan kekal menanggung hutang kepada Allah SWT sehingga ia dijelaskan. Semasa qada’ puasa ini, dicadangkan agar membuat catatan agar nampak proses tersebut berjalan. Dan hati lebih yakin dan tenang. Manakala bagi bayaran fidyah, ia boleh dibayar sekaligus atau dibayar secara ansur-ansur mengikut kemampuan. Justeru masalah kewangan dapat diatasi jika keluarga memerlukan bantuan duit. Pengiraan yang mudah untuk menyelesaikan bayaran fidyah boleh rujuk di link berikut: https://www.zakatselangor.com.my/kalkulator-fidyah/ Berkenaan pembayaran fidyah Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (FATWA) Negeri Selangor yang bersidang pada 16 Januari 2001 telah sebulat suara membuat keputusan bahawa: Harus menggunakan 2 kaedah: i. Gandakan fidyah dan kifarah mengikut tahun. ii. Tidak digandakan kadar pembayaran fidyah dan kifarah. Rujukan link : https://www.muftiselangor.gov.my/fatwa-personalisation/fatwa-tahunan/keputusan-fatwa-xwarta/2001-2005/812-hukum-gandaan-fidyah-dan-kifarah والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.