Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalammualaikum wbt. Apakah hukum bagi wanita yg telah didatangi haid sehingga tempoh 40 hari tanpa henti solat selepas 15 hari kitaran haid sebenar. Dan apakah hukumnya jika teruskan bersolat,mengaji dan berjemaah di surau selama masih terdapat pendarahan walaupun melebihi tempoh kitaran. Mohon penjelasan. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, hukumnya harus, darah yang masih lagi keluar selepas tempoh maksimum haid 15 hari kerana ia merupakan darah istihadah (darah penyakit). Wanita yang mengalami istihadah, boleh menunaikan solat, mengaji dan berjemaah di surau. Dalil yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a. menerangkan bahawa Fatimah binti Abi Hubaisy r.a. pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: إنى امرأة استحاض فلا أطهر افأدع الصلاة؟ فقال : لا، إنما ذلك عرق وليس بالحيضة فإذا أقبلت الحيضة فدعي الصلاة وإذا أدبرت فاغسلي عنك الدم وصلي Maksudnya : “Sesungguhnya aku didatangi istihadah, maka aku tidak suci. Adakah aku perlu meninggalkan solat?”. Rasulullah SAW menjawab: “Tidak, sesungguhnya itu ialah ‘irq (penyakit). Tinggalkan solat pada kadar haid yang kebiasaan bagi kamu, kemudian hendaklah kamu mandi dan dirikan solat”. (Riwayat Muslim) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.