Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Soalan 1 Saya sudah berumahtangga 17 tahun,pada tahun ke 2(ketika iti isteri saya tengah mengandung anak kedua) pernikahan saya pernah bergaduh dan seingat saya,terlepas cakap "SUSAH SANGAT AKU CERAI LA" pada ketika itu saya rujuk mereka yg lebih dewasa dan mereka kata tidak jatuh talak. Waktu itu saya berusia 23 tahun,tapi kini bila saya berusia 40 tahun,perkara tersebut menyebabkan saya sering was-was dan sangat menggangu fikiran saya. Apa yang patut saya lakukan tuan? Soalan 2 Adakah solat berjemaah saya diterima sekiranya imam mempunyai tatu/cacah dibadan sedangkan ada lagi orang yang layak jadi imam dan tidak mempunyai tatu.Ketika itu sya ditahan reman dipenjara.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, perkataan “Susah sangat aku cerai la”, bukanlah lafaz talak dan tidak menyebabkan talak jatuh. Ia juga bukanlah lafaz taklik. Justeru adalah dinasihatkan agar suami tidak mudah menggunakan perkataan cerai apabila berlakunya pertengkaran bersama isteri untuk mengelakkan tersilap. Ini kerana perkara halal tetapi paling dibenci oleh Allah SWT adalah talak. Hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar RA, bahawa Nabi SAW bersabda: أبغض الحلال إلى الله الطلاق Maksudnya : “Sebenci-benci perkara yang halal disisi Allah ialah talak” (Riwayat Ibnu Majah) Berkenaan tatoo hukumnya adalah haram. Bagi mereka yang telah bertatoo, wajib untuk menghilangkan tatoo tersebut. Walau bagaimanapun, jika ianya memudharatkan untuk dihilangkan, maka syarak memberi kelonggaran dan dimaafkan. Justeru, sah wuduk dan sah solatnya serta boleh menjadi imam. Namun, lebih baik memilih imam yang terbaik dari segi bacaan, tahu hukum hakam fiqh atau yang lebih berusia. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.