Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Saya seorang Kapten Kapal. Kerja saya selama 3-4 bulan di dalam kapal. Rutin kerja saya adalah membawa barang daripada pelabuhan ke pelantar minyak. Jarak perjalanan lebih drp 100km. Saya akan berada di kawasan perairan pelantar minyak lebih kurang satu minggu dan akan kembali ke pelabuhan. Ambil barang dan kembali ke kawasan pelantar minyak. Tapi saya masih berada di dalam kapal. Saya tidak naik ke pelantar minyak. Soalan saya, adakah saya boleh bersolat jamak selama saya berada di atas kapal? Terima Kasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, harus untuk solat jamak dan qasar dalam perjalanan antara pelantar minyak dan pelabuhan. Harus juga solat jamak dan qasar semasa berada di pelabuhan dengan syarat tidak tinggal tetap lebih daripada 3 hari tidak termasuk hari sampai dan hari pulang. Tidak harus untuk solat jamak dan qasar sekiranya telah sampai ke kawasan pelantar minyak. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.