Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Ustaz/ Ustazah, saya nak bertanya perihal isteri yang kematian suami. Boleh ke isteri yang dalam iddah balik ke kampung halaman (rumah peninggalan arwah suami)? Arwah ayah baru meninggal awal Ogos lepas, dan mak saya skrg tinggal bersama kakak saya di Putrajaya, rumah pusara yang ayah tinggalkan di Negeri Sembilan. Boleh ke mak mengikuti kami balik ke kampung, atas alasan untuk menjenguk rumah peninggalan arwah? Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, mak puan boleh balik ke rumah peninggalan ayah semasa tempoh iddah, tetapi tidak boleh bermalam di sana. Ini kerana mak telah memilih untuk tinggal bersama kakak sepanjang tempoh iddah tersebut. Justeru, boleh berziarah dengan ditemani mahram dan hanya pada siang hari. Apabila malam hendaklah pulang semula ke rumah dimana mak beriddah. Ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Mujahid bahawa ramai lelaki yang gugur syahid dalam peperangan Uhud, lalu balu-balu mereka datang bertemu Rasulullah SAW meminta kebenaran untuk tidur di rumah sesama mereka kerana kesunyian pada waktu malam. Baginda SAW pun bersabda: تحدثن عند إحداكن ما بدا لكن فإذا أردتن النوم فلتؤب كل امرأة منكن إلى بيتها Maksudnya: Berbicaralah sesama kamu apa yang sepatutnya. Akan tetapi apabila tiba masa kamu ingin tidur (pada waktu malam), maka beredarlah setiap daripada kamu ke rumah masing-masing. (Riwayat al-Baihaqi) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.