Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Saya menghadapi Kesukaran untuk sujud Dan bangun dari sujud ketika solat. Saya menghadapi sakit otot Dan tulang punggung semasa Dan selepas solat kerana berat Badan Saya. Adakah Saya Dibenarkan until solat Secara duduk atas sebab tersebut bagu mengelakkan kemudaratan Terhadap Badan Dan elakkan kemalangan semasa solat.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, solat fardhu wajib ditunaikan secara berdiri. Namun bagi sesiapa yang tidak mampu berdiri kerana sakit, tua atau seumpamanya dibenarkan solat secara duduk. Asas pensyariatan solat secara duduk ini berdasarkan hadis Imran bin Husain RA yang berkata: كَانَتْ بِي بَوَاسِيرُ ، فَسَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الصَّلاَةِ ، فَقَالَ : صَلِّ قَائِمًا ، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا ، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ Maksudnya: “Aku terkena penyakit buasir, lalu aku bertanya Nabi SAW tentang solat. Baginda bersabda: “ Solatlah dalam keadaan berdiri sekiranya tidak mampu dalam keadaan duduk, sekiranya tidak mampu solatlah di atas lambung” (Riwayat al-Bukhari) Maka setiap rukun solat wajib dilakukan sepertimana sifat asal yang diperintahkan. Jika terdapat keuzuran dalam melakukan sesuatu rukun solat, namun memiliki kemampuan untuk melakukan rukun lain dengan sempurna, seperti seorang yang tidak mampu sujud seperti sifat asalnya namun mampu berdiri untuk bertakbiratul ihram dan membaca al-Fatihah, wajib dia berdiri untuk melaksanakannya. Tidak sah solat jika meninggalkan sifat asal mana-mana rukun yang mampu dilakukan hanya kerana tidak memiliki kemampuan melaksanakan sebahagian sifat asal rukun yang lain. Oleh itu, dalam situasi tuan yang menghadapi kesukaran untuk sujud dan bangun dari sujud, tetapi boleh untuk berdiri dan rukuk seperti biasa. Maka kaedah yang disarankan adalah menunaikan solat seperti orang yang mampu untuk berdiri dan rukuk tetapi tidak mampu untuk sujud dan duduk (iftirasy/ tawarruk/ tarabbu’/ lainnya) maka hendaklah ; Wajib qiam (berdiri) ketika takbiratul ihram dan membaca surah al-Fatihah serta rukuk dan iktidal secara lazimnya. Rukun sujud dilaksanakan dalam keadaan duduk sama ada duduk di atas lantai (paling utama) atau duduk di atas kerusi (bagi yang tidak mampu duduk di atas lantai kerana sakit lutut dan sebagainya). والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.