BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Soalan: Apa hukum aerial yoga/flying yoga dgn niat untuk bersenam dan sihat?


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan saudari, perbuatan tersebut sebaiknya hendaklah dielakkan dan mengambil langkah berhati-hati, walaupun tiada mantera dan bertujuan mengurangkan kesakitan, kerana ia mendorong kepada kerosakan akidah dari segi perbuatannya. Sebagaimana keputusan Muzakarah Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-83 yang bersidang pada 22 – 24 Oktober 2008 telah membincangkan Kedudukan Senaman Yoga Di Kalangan Umat Islam. Muzakarah berpandangan dan berpendapat bahawa senaman Yoga yang berasal dari masyarakat Hindu sejak sebelum Masehi lagi yang menggabungkan amalan fizikal, unsur-unsur keagamaan, mentera dan pemujaan bagi tujuan tertentu seperti mendapatkan ketenangan dan kemuncaknya, penyatuan diri dengan tuhan atau tujuan-tujuan lain adalah tidak sesuai dan boleh merosakkan akidah seorang muslim. Oleh itu, Muzakarah juga bersetuju dan memutuskan apa jua jenis atau bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut di atas adalah dilarang dan bertentangan dengan syariat Islam. Sementara pergerakan amalan fizikal tanpa unsur-unsur di atas yang dilakukan pada zahirnya tidaklah menjadi kesalahan. Namun demikian, masyarakat Islam diingatkan wajib berhati-hati dalam berwaspada dari perkara-perkara yang boleh menghakis akidah seseorang muslim. Seperti sedia maklum, perkara-perkara yang boleh menghakis akidah boleh berlaku dengan sebab-sebab berikut: 1. Kepercayaan atau keyakinan di hati. 2. Menerusi perkataan atau pengakuan dengan lidah. 3. Perbuatan. Memandangkan terdapat dua elemen tersebut dalam amalan Yoga, maka umat Islam wajib memelihara akidah mereka dari terhakis. Sebaiknya, saudari boleh menggunakan alternatif lain bagi mengurangkan sakit belakang dengan merujuk kepada Jurupulih Perubatan Anggota (Fisioterapi) dan sebagainya daripada pelbagai jenis sakit yang sesuai. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2020
Jumlah Pelawat : 483

message user image