Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum, saya ingin bertanya apa hukum wanita membuka auratnya tanpa sengaja ? macam dalam kes saya ni , saya tanpa sengaja dan tidak tahu saya ter hantar gambar saya kepada kawan lelaki saya . pada masa itu saya tidak perasan ,sepatutnya saya hantar pada rakan wanita saya ,tanpa sengaja saya terhantar pada kawan lelaki saya juga . Harini baru saya dapat tahu yang aurat saya (gambar saya tanpa tudung) dilihat oleh rakan lelaki saya tersebut ) dalam kes ni memang saya tak sengaja dan saya memang tak perasan sebab perkara ini berlaku sebulan yang lepas. Dia (kawan lelaki ) cakap dia tertengok sekali lalu sebab dia terkejut , dan dia tidak bercakap saya tentang perkara ini takut saya malu dan dia tahu saya memang tak sengaja. saya harap pihak tuan menjawab soalan saya , terima kasih Assalamualaikum.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan, perbuatan yang dilakukan saudari tanpa sengaja itu tidaklah berdosa. Firman Allah SWT: وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُم بِهِ وَلَـٰكِن مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ ۚ وَكَانَ اللَّـهُ غَفُورًا رَّحِيمًا Maksudnya: “Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (al-Ahzab : 5) Dicadangkan agar mohon pada kawan lelaki yang turut menerima gambar tersebut untuk memadamnya dan tidak disebarkan kerana ia adalah aib. Menjaga keaiban semasa muslim amat dituntut dalam Islam. Sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Umar RA menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Seorang Muslim adalah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah SWT akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, maka Allah SWT akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat. Sesiapa yang menutupi aib seseorang Muslim, maka Allah SWT akan menutup aibnya pada hari kiamat.” (Riwayat al-Bukhari) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.