Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum,Saya mempunyai pertanyaan mengenai hukum dari segi islam mengenai perkara dibawah: 1) Apakah hukum memakai menstrual cup? Menstrual cup merupakan pengganti alternatif kepada Tampon and Tuala Wanita. Menstrual cup adalah cawan silicon kecil yang digunakan untuk mengumpul & menakung darah haid secara menetapkannya di bahagian dalam faraj. Diperbuat daripada 100% silikon gred perubatan dan ianya selamat untuk digunakan. Jika digunakan dengan betul, ia tidak memberi sebarang ketidakselesaan fizikal dan tidak menyebabkan kebocoran. Tempoh jangka hayat satu menstrual cup menjangkau 10 hingga 15 tahun, menjadikannya produk mesra alam sekitar. 2) Apakah hukum dari agama untuk seorg anak dara untuk memakai menstrual cup tersebut? 3) Adakah ianya salah bagi seseorg wanita memilih untuk menggunakan menstrual cup daripada menggunakan pad semasa period? Mohon pencerahan yang jelas dari segi islam mengenai perkara yang dinyatakan diatas.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, kaedah menggunakan menstrual cup bagi wanita yang istihadah dianggap menanggung najis (darah istihadah). Justeru, ia hendaklah dicuci sebelum berwuduk bagi menunaikan setiap kali solat fardhu, satu wuduk untuk satu solat fardhu, adapun solat sunat boleh berbilang-bilang. Justeru, membersihkan diri termasuk dalam syarat sah solat. Walapun ia bukan darah haid, tetapi hendaklah seseorang wanita membersihkan diri (badan) dan pakaian setiap kali hendak menunaikan solat. Firman Allah SWT yang bermaksud : “SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.” (al-Baqarah : 222) “Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.” (al-Muddaththir : 4) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.