Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Syarikat tempat saya bekerja ada mengambil insurans untuk pekerja. Memandangkan ini bukan syarikat muslim, saya rasa ianya insurans konvesional. Apakah hukum saya menggunakan insurans ini untuk mendapatkan rawatan di klinik panel atau hospital? Dan bagaimana pula dengan pampasan kematian yang akan diberikan kepada waris saya setelah permergian saya? Bagaimana status wang pampasan kematian itu dan boleh ke waris saya menggunakannya, sebagai contoh untuk menyelesaikan hutang2 saya dan membantu kewangan mereka? Saya harap pihak mufti selangor dapat menjawab soalan saya. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, Isu ini telah diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-49 yang bersidang pada 20 – 22 April 2011 yang telah membincangkan Status Pampasan Polisi Insurans Konvensional Selepas Kematian Pembeli Polisi, seperti berikut: 1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa insurans konvensional adalah suatu muamalah yang tidak patuh syariah kerana mempunyai elemen-elemen yang bercanggah dengan prinsip teras Islam. 2. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa pampasan polisi insurans konvensional yang diterima oleh ahli waris adalah dikira sebagai harta tidak patuh syariah. 3. Dalam hal ini, jumlah bayaran pokok pembeli polisi ketika hayat sahaja dikategorikan sebagai harta peninggalan si mati yang perlu diagihkan secara sistem faraid. Manakala baki pampasan polisi insurans konvensional tersebut tidak boleh diwarisi oleh ahli waris secara sistem faraid serta wajib dilupuskan dengan diserahkan sama ada kepada pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri-negeri atau didermakan untuk tujuan kebajikan termasuklah kepada golongan fakir dan miskin. 4. Jika terdapat ahli waris pembeli polisi, contohnya isteri atau anak-anak pembeli polisi dikategorikan sebagai golongan fakir dan miskin, maka hukumnya adalah harus bagi ahli waris tersebut untuk mengambil wang pampasan polisi insurans konvensional tersebut dengan jumlah sekadar keperluan sebagai fakir dan miskin setelah disahkan oleh pihak berkuasa atau Jawatankuasa Kariah kawasan berkenaan. Baki wang pampasan polisi tersebut perlulah dilupuskan mengikut cara yang telah dinyatakan dalam perkara (3) di atas. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.