Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ingin bertanyakan satu soalan. Apakah hukum untuk seseorang yang masih hidup untuk mencium jenazah bukan mahram? contohnya seperti A mencium jenazah B, iaitu tunang beliau. Terima kasih!
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan tuan,
Mencium jenazah lelaki atau perempuan bukan mahramnya, dan tiada ikatan suami isteri yang sah adalah tidak diharuskan. Status bukan mahram ketika masih hidup tetap berlaku walaupun telah meninggal dunia. Dalil larangan tersebut ketika masih hidup seperti berikut:
أنَّ رَجُلًا أَصَابَ مِنِ امْرَأَةٍ قُبْلَةً، فأتَى النبيَّ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ فَذَكَرَ ذلكَ له، قالَ فَنَزَلَتْ: {وأَقِمِ الصَّلَاةَ طَرَفَيِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِنَ اللَّيْلِ، إنَّ الحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ذلكَ ذِكْرَى لِلذَّاكِرِينَ} [هود: 114] قالَ: فَقالَ الرَّجُلُ: أَلِيَ هذِه؟ يا رَسُولَ اللهِ، قالَ: لِمَن عَمِلَ بهَا مِن أُمَّتِي.
Ada seorang lelaki yang sengaja mencium seorang wanita(bukan mahram yang tidak halal baginya), lalu ia mendatangi Nabi SAW dan memberitahu tentang perkara yang telah beliau lakukan. “Maka turunlah firman Allah SWT, ((Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.)) (Surah Hud ayat 114). lelaki tersebut lalu bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah ayat ini berkaitan pengampunan dosa hanya khusus untuk aku?” Beliau bersabda, “Untuk sesiapa yang melakukannya dari kalangan umatku.” (Riwayat Muslim).
Adapun bagi yang telah meninggal dunia sama sahaja dengan orang yang masih hidup sebagaimana hadis daripada 'Aisyah bahawa Nabi SAW bersabda:
كَسْرُ عَظْمِ الْمَيِّتِ كَكَسْرهِ حَيّاً
Bermaksud: “Mematahkan tulang mayat, keadaannya sama dengan mematahkan tulangnya ketika masih hidup.” (Riwayat Abu Dawud).
Hadis ini menjelaskan persamaan keadaan dan hukum antara seseorang yang hidup dan seseorang yang meninggal dunia yang mana kehormatannya kekal selepas matinya dia, sebagaimana kehormatannya semasa hidupnya. Oleh itu, mencium jenazah tunang adalah tidak harus selagi mana tiada ikatan yang sah.
والله أعلم بالصواب