Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
Saya musykil berkaitan syarikat insuran konvensional. Adakah kesemua syarikat insuran konvensional difatwakan haram walaupun mempromosikan produk yang tidak berkaitan dengan pelaburan ( servis perlindungan semata contohnya medical card).
Bagaimana pula dengan syarikat Takaful di Malaysia yang dimiliki pegangan ownership oleh syarikat insuran konvensional? Sebagai contoh PruBsn Takaful dimiliki oleh Prudential konvensional. AIA Takaful dimiliki oleh AIA konvensional. Dana untuk membuka syarikat Takaful datangnya dari syarikat konvensional ini. Segala keuntungan syarikat Takaful ini disalurkan semula pada syarikat konvensional sebagai pemilik (pemegang saham). Dan apabila berlaku kerugian dari syarikat Takaful, syarikat konvensional sebagai pemilik akan menyalurkan dana tambahan utk menanggung & melancarkan operasi syarikat Takaful mereka. Bagaimana pula dengan sumber pendapatan agent Takaful yg memenangi contest ganjaran jualan tetapi dana ganjaran tersebut sebenarnya datang dari syarikat konvensional sebagai syarikat induk.
Mohon penjelasan kerana saya keliru berkaitan perkara ini. Terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد...
Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-16 yang bersidang pada 15-16 Feb 1979 telah membincangkan mengenai insurans. Persidangan telah memutuskan bahawa insuran nyawa sebagaimana yang dikendalikan oleh kebanyakan syarikat insuran yang ada pada hari ini adalah haram dan sebagai suatu muamalah yang fasad kerana aqadnya tidak sesuai dengan prinsip-prinsip Islam iaitu:
Begitu juga,
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1 - 3 Februari 2008 telah membincangkan Kajian Hukum Insurans Am. Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum ke atas Insurans Am adalah tidak diharuskan oleh Islam.
Dan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-89 yang bersidang pada 14 - 16 Disember 2009 telah membincangkan Hukum Mempromosikan Produk Insurans Konvensional Menurut Perspektif Syariah. Muzakarah berpandangan bahawa pendapatan atau komisyen yang diterima dalam proses transisi dari sistem konvensional kepada takaful adalah dimaafkan.
Kesimpulannya, keharaman insuran kovensional adalah disebabkan akad dan pelaburan langsungnya yang tidak bertepatan syariah Islam . Dengan pilihan yang ada iaitu takaful adalah harus untuk kita sebagai orang Islam melanggannya.
والله أعلم بالصواب