Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, sy nak bertanya apakah hukum sekiranya sy berkawan dengan org yg suka iri hati dengan sy? Setiap apa kejayaan yg sy kecapi pasti akan d perlekehkannya. Setiap kesalahan yg dia buat pasti dia akan cuba palitkan nama saya sebagai punca kesilapannya terjadi. Sampai satu tahap sy amat tertekan berteman dengannya, tapi dalam masa yg sama sy takut sekiranya sy memutuskan silaturrahim dengannya.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد...
Imam al- Ghazali ada menyatakan di dalam kitab Hidayatul Salikin berhubung ciri-ciri sahabat yang baik, antaranya adalah:
1. Cantik peribadi dan akhlaknya: Kita hendaklah menghindarkan diri daripada bersahabat dengan orang yang tidak elok peribadi dan akhlaknya kerana ia akan mempengaruhi kita ke arah perilaku yang tidak baik.
2. Orang yang soleh: Janganlah sesekali kita berkawan dengan orang yang fasik (fajir) kerana mereka sentiasa melazimi dan mengekalkan dosa yang besar dan kecil.
Manakala sifat iri hati adalah mazmumah yang perlu dielakkan sama sekali. Sahabat yang baik seharusnya meraikan kejayaan rakannya yang lain dan dia menyokong sekiranya berlaku kegagalan. Bukannya memperlekehkan. Namun sebagai sahabat yang baik juga, tuan perlu menasihatinya akan sikapnya itu dan jika masih berterusan adalah lebih baik menjauhkan tetapi bukan memutuskan kerana ditakuti tuan boleh terpengaruh dengan perangai buruknya itu.
Daripada Abu Musa al-Asy’ari, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَثَلُ الجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالسَّوْءِ، كَحَامِلِ المِسْكِ وَنَافِخِ الكِيرِ، فَحَامِلُ المِسْكِ: إِمَّا أَنْ يُحْذِيَكَ، وَإِمَّا أَنْ تَبْتَاعَ مِنْهُ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ مِنْهُ رِيحًا طَيِّبَةً، وَنَافِخُ الكِيرِ: إِمَّا أَنْ يُحْرِقَ ثِيَابَكَ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ رِيحًا خَبِيثَةً
"Diumpamakan sahabat yang soleh dan sahabat yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan kamu, sama ada kamu membeli minyak wangi tersebut atau hanya mencium bau harumannya sahaja. Manakala tukang besi pula boleh menyebabkan rumah kamu atau baju kamu terbakar, atau kamu mendapat bau busuk darinya.” (HR Bukhari).
والله أعلم بالصواب