BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Perlukan saya mengeluarkan zakat untuk pengeluaran duit I-Sinar kwsp? Jika iya berapa kadar yang perlu saya bayar?. Terima kasih


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan, berdasarkan Fatwa Selangor berkenaan Sistem Pengurusan Kutipan Zakat negeri Selangor 2013 (pindaan) berkaitan pengeluaran simpanan KWSP sebelum mencapai umur 55 tahun menyatakan;

a- Jika pencarum adalah pembayar zakat pendapatan:- Apa-apa jumlah wang KWSP yang dikeluarkan tanpa mengira sebarang tujuan dalam tempoh setahun wajib dizakatkan keseluruhannya.

b- Jika pencarum tidak layak membayar zakat pendapatan:- Apa-apa jumlah wang KWSP yang dikeluarkan tanpa mengira sebarang tujuan dalam tempoh setahun akan ditaksir bersama sumber pendapatan yang lain.

Berdasarkan fatwa tersebut, jelas menyatakan bahawa zakat wajib dikeluarkan ke atas jumlah wang KWSP yang dikeluarkan. Oleh itu, setiap pengeluaran wang KWSP melalui skim i-Lestari dan i-Sinar wajib dizakat sekiranya mencukupi syarat-syaratnya.

Walaubagaimanapun, berikutan pandemik Covid-19 serta kesan kegawatan ekoonomi akibat pandemik ini, berikut adalah ketetapan berkaitan kewajipan zakat ke atas pengeluaran KWSP i-Lestari dan i-Sinar;

i- Pengeluaran i-Lestari atau i-Sinar KWSP dilakukan dalam keadaan terpaksa akibat ketiadaan atau terjejasnya sumber pendapatan yang mampu menampung keperluan hidup asasi diri dan tanggungan, maka zakat tidak diwajibkan.

ii- Pengeluaran i-Lestari atau i-Sinar KWSP yang dilakukan dalam keadaan pilihan kerana masih mempunyai sumber pendapatan yang mampu menampung keperluan hidup asasi diri dan tanggungan, maka zakat adalah diwajibkan ke atas seluruh pengeluaran yang dilakukan

Kadar zakat yang dikenakan bagi pengeluaran tersebut adalah 2.5% dari jumlah pengeluaran tersebut.

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 162

message user image