Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum..
Saya ingin mendapat penjelasan tentang kemusykilan yang saya hadapi. Saya ada membuat satu nazar iaitu berpuasa selama beberapa hari, namun saya tidak dapat menunaikan nazar tersebut disebabkan sedang sarat mengandung. Saya berhasrat ingin menunaikan nazar tersebut sebelum bersalin. Justeru, adakah cara lain yang perlu saya lakukan sebagai ganti kepada nazar puasa saya?
Terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan puan, para ulama' berpandangan bahawa nazar adalah mewajibkan atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak ditentukan dalam syara’, sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara. Setiap perkara yang dinazarkan wajib ditunaikan mengikut apa yang dinazarkan. Allah SWT berfirman dalam surah al Hajj ayat 29 :
ثُمَّ لْيَقْضُوا تَفَثَهُمْ وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ
Maksudnya: Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.
Walau bagaimanapun, jika sekiranya dalam nazar tersebut puan berniat dan menentukan untuk berpuasa sebelum bersalin tetapi mempunyai keuzuran dalam menunaikannya, ia adalah disebabkan keuzuran syar'ie, maka tidaklah berdosa tetapi puan wajib qada' puasa tersebut. Seandainya puan tidak menentukan atau menetapkan masa untuk melaksanakannya ia boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja selama mana puan yakin dapat melaksanakannya. Bagaimanapun menyegerakan puasa tersebut adalah lebih afdhal.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.