BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya mengenai hukum mengesyaki bekas gigitan dan kuku anjing. Situasi yang saya ceritakan ini panjang ceritanya. Rumah sewa yang saya duduki merupakan rumah teres yang tidak berpagar. Pagar tidak dipasang oleh pemilik rumah. Rumah ini juga menjadi tempat kucing berteduh dimalam hari atau pada waktu hujan. Pada suatu pagi, sebelum subuh ketika saya dan keluarga sedang tidur, suami terdengar bunyi beberapa ekor kucing bergaduh dengan sangat kuat di kawasan hadapan beranda rumah sehingga menyebabkan suami terjaga dari tidurnya. Kami tidur di ruang tamu. Walaubagaimanapun, suami tidak menjenguk keadaan diluar sana dan terus sambung tidur. Apabila pagi, suami ingin keluar rumah, suami dapati plastik sampah yang telah berikat diberanda rumah kami, yang suami buang malam sebelumnya, telah koyak rabak sehingga terburai sampah-sampah yang ada. Kami suami isteri mempunyai selipar jenis getah. Selipar suami hilang sebelah. Sebelah lagi masih elok. Manakala kedua-dua selipar saya pula terdapat lubang-lubang kecil dan ada bahagian yang terbelah dan hilang. Saya mempunyai sikap was was. Pada mulanya saya fikir, selipar saya telah digigit kucing sehingga putus. Tetapi apabila saya perhati selipar saya, selipar tersebut keadaannya berlubang-lubang kecil dari binatang yang mengasah kuku. Lubang-lubang tersebut tidak bersaiz terlalu besar. Seperti dari kuku atau mulut kucing sahaja. Walaubagaimana pun, saya terlalu was was memikirkan sehingga termimpi-mimpi anjing datang rumah ketika terlelap disiang hari.

Sebelum ini memang pernah 2 kali anjing datang ke beranda rumah kami dan saya telah menyertu beranda. Pada pertama kali saya menyertu beranda adalah kerana terdengar bunyi anjing menyalak kuat seperti memarahi kucing yang berteduh diberanda rumah saya pada waktu malam. Apabila saya buka pintu anjing tersebut sudah tiada. Kucing juga tiada. Tapi saya sertu sahaja keesokan paginya walaupun tidak nampak fizikal anjing masuk ke beranda rumah saya, dan saya telah sertu tong sampah yang disyaki terkena badan atau air kencing anjing kerana ada sedikit kesan yang saya tidak tahu dari anjing atau kucing kerana tiada bau. Ini kerana pada malam anjing menyalak saya terdengar bunyi barang seperti tong dilanggar jadi saya sertu sahaja walau tidak pasti. Kali kedua saya sertu kerana pada suatu malam saya terdengar bunyi anjing menyalak tidak terlalu kuat tetapi berada dihadapan kawasan beranda rumah. Apabila saya bukak pintu saya terkejut kerana seekor anjing sedang mengelilingi kereta suami yang berada di beranda rumah. Keesokan paginya suami sertu beranda rumah kerana memang jelas anjing berjalan disitu. 

Untuk situasi kali ini, saya tidak menyertu selipar dan beranda rumah kerana suami kata hanya mendengar suara kucing bergaduh sahaja. Itupun bukan diberanda tetapi dikawasan hadapan beranda. Kemungkinan kucing bergaduh dan ada kucing yang menggigit dan mengasah kuku pada selipar getah saya. Sebelum ini memang ada kucing berteduh dan ada juga kucing kencing berdekatan dengan tempat saya susun selipar. Selipar suami yang hilang sebelah pula pada pendapat suami kucing bergaduh sehingga beralih seliparnya sehingga hilang, kebetulan pula waktu itu hujan lebat. Sebelum ini juga selipar suami pernah hilang sebelah dan digantikan dengan selipar orang lain yang kami tidak tahu pemiliknya. Pada waktu itu saya cuma berfikir, mungkin ada orang ingin menceroboh rumah memandangkan sebelumnya rumah saya pernah dibuka tingkap dari luar oleh orang pada waktu kami tidur.

Jadi disini saya ingin tahu, bagaimana ingin mengatasi masalah was was ini? Kerana saya saya masih was was betulkah bekas kuku dan gigitan kucing? Bagaimana pula kalau bukan kesan dari kucing tetapi kesan dari anjing? Suami pula yakin bahawa kesan dari kucing sahaja kerana tidak mendengar suara anjing, cuma dengar bunyi kucing-kucing bergaduh, manakala saya tidak mendengar apa-apa kerana tidur nyenyak. Suami juga yakin kesan lubang yang kecil dan bekas gigitan yang kecil adalah dari kucing bukan seperti anjing yang bermulut besar. Jadi suami tidak sertu. Saya juga cuba untuk meyakinkan diri tapi masih ada was was. Maaf cerita panjang. Harap dapat jawapan yang tepat dan meyakinkan. Terima kasih. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد...

Puan,

Bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu barang itu terkena najis melalui ain, warna dan rasa. Penyucian ke atas barangan yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila najis jelas kelihatan seperti tahi, air kencing dan selainnya sehingga hilang bau, rasa dan warna. 

Jika najis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan: 

اليقين لا يزول بالشك 

Maksudnya: "Keyakinan tidak akan dapat menghapuskan keraguan". Ini kerana pada asalnya, tiada najis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka tidak perlu disertu. Jika tidak dapat dipastikan dan sekadar anggapan atau was-was maka ianya tidak perlu disertu dan hanya perlu dibersihkan seperti biasa sahaja.

Para ulama’ amat mengambil berat mengenai penyakit was-was kerana jika dibiarkan berlarutan boleh menjadi sesuatu yang lebih kronik. Antara kaedah yang dianjurkan oleh para ulama' bagi menghilangkan perasaan was-was adalah seperti berikut :

1. Mengambil Sikap Tidak Peduli: iaitu dengan membiarkan perasaan was-was tersebut. Ini sepertimana yang dinyatakan oleh al-Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah mengenai ubat bagi penyakit was-was.

 لَهُ دَوَاءٌ نَافِعٌ وَهُوَ الْإِعْرَاضُ عَنْهَا جُمْلَةً كَافِيَةً. وَإِنْ كَانَ فِي النَّفْسِ مِنْ التَّرَدُّدِ مَا كَانَ - فَإِنَّهُ مَتَى لَمْ يَلْتَفِتْ لِذَلِكَ لَمْ يَثْبُتْ بَلْ يَذْهَبُ بَعْدَ زَمَنٍ قَلِيلٍ كَمَا جَرَّبَ ذَلِكَ الْمُوَفَّقُونَ، وَأَمَّا مَنْ أَصْغَى إلَيْهَا وَعَمِلَ بِقَضِيَّتِهَا فَإِنَّهَا لَا تَزَالُ تَزْدَادُ بِهِ حَتَّى تُخْرِجَهُ إلَى حَيِّزِ الْمَجَانِينِ بَلْ وَأَقْبَحَ مِنْهُمْ، كَمَا شَاهَدْنَاهُ فِي كَثِيرِينَ مِمَّنْ اُبْتُلُوا بِهَا وَأَصْغَوْا إلَيْهَا وَإِلَى شَيْطَانِهَا

Maksudnya: Baginya (penyakit was-was itu) ubat yang sangat bemanfaat iaitu bersikap tidak peduli secara keseluruhannya (dalam perkara yang diwas-waskan itu). Meskipun di dalam dirinya terdapat perasaan was-was, selagi mana dia tidak melihat, mengambil peduli perkara was-was tersebut maka ianya tidak akan tetap bahkan akan hilang selepas beberapa ketika. Ini sepertimana yang telah dilalui oleh mereka yang telah diberi petunjuk untuk terlepas dari penyakit was-was ini. Adapun mereka yang mendengar (mengambil peduli was-was tersebut) dan mengikutinya, was-was tersebut tidak akan hilang bahkan bertambah sehingga menjadikannya gila dan boleh jadi lebih buruk dari itu sepertimana yang kita saksikan pada kebanyakan mereka yang ditimpa penyakit was-was yang mendengar dari bisikian syaitan.

2. Bersabar Dan Terus Mencuba: Mereka yang ditimpa penyakit was-was ini sebenarnya sedang diuji. Ianya adalah ujian menentang syaitan kerana was-was itu adalah daripada syaitan. Dalam diuji, seseorang itu perlulah sentiasa bersabar dan terus berlatih untuk menghindari penyakit was-was. Al-Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah menukilkan perkataan Sultan al-Ulama’ al-‘Izz bin Abd al-Salam yang mana menyebut:

 دَوَاءُ الْوَسْوَسَةِ أَنْ يَعْتَقِدَ أَنَّ ذَلِكَ خَاطِرٌ شَيْطَانِيٌّ، وَأَنَّ إبْلِيسَ هُوَ الَّذِي أَوْرَدَهُ عَلَيْهِ وَأَنَّهُ يُقَاتِلُهُ، فَيَكُونُ لَهُ ثَوَابُ الْمُجَاهِدِ؛ لِأَنَّهُ يُحَارِبُ عَدُوَّ اللَّهِ، فَإِذَا اسْتَشْعَرَ ذَلِكَ فَرَّ عَنْهُ

Maksudnya: Ubat bagi penyakit was-was ini adalah dengan beriktikad bahawa ianya adalah godaan syaitan dan sesungguhnya iblis, dialah yang sedang dibawa dan sedang diperangi dan baginya pahala seorang yang sedang berjihad kerana sedang memerangi musuh Allah. Sekiranya dia merasa was-was maka dia akan menghindarinya.

3. Mempelajari Tatacara Ibadah Yang Sahih: Mempelajari yang sahih dari tatacara beribadat dapat membantu dalam menghindari penyakit was-was. Seseorang yang ampuh pengetahuannya dalam soal agama akan mudah terpengaruh dan terikut-ikut dengan trend beragama tanpa ilmu yang benar dan akhirnya akan mengelirukan dirinya. Penyakit was-was akan mudah mengambil alih peranan akal dan jantung hati mereka yang beramal namun tidak mengatahui akan kesahihannya.

Al-Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah sekali lagi menyebutkan:

أَنَّ الْوَسْوَسَةَ لَا تُسَلَّطُ إلَّا عَلَى مَنْ اسْتَحْكَمَ عَلَيْهِ الْجَهْلُ وَالْخَبَلُ وَصَارَ لَا تَمْيِيزَ لَهُ، وَأَمَّا مَنْ كَانَ عَلَى حَقِيقَةِ الْعِلْمِ وَالْعَقْلِ فَإِنَّهُ لَا يَخْرُجُ عَنْ الِاتِّبَاعِ وَلَا يَمِيلُ إلَى الِابْتِدَاعِ

Maksudnya: Sesungguhnya was-was itu tidak akan menguasai melainkan ke atas mereka yang jahil dan kurang akal yang tidak dapat membezakan (antara yang sahih ataupun tidak). Sedangkan mereka yang berada di atas hakikat ilmu dan akal tidak akan terkeluar daripada mengikut petunjuk dan tidak pula cenderung kepada perlakuan bid’ah.

4. Memohon Perlindungan Allah SWT: Syaitan akan selalu datang untuk membisikkan was-was kepada manusia. Disebabkan itu, perlindungan daripada Allah SWT teramatlah penting dalam usaha untuk mengekangnya. Dalam sebuah hadith, diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya oleh sahabat yang mana syaitan telah datang dan mengganggu ketika mana dia dalam solat dan bacaannya. Lalu Nabi SAW bersabda:

 ذَاكَ شَيْطَانٌ يُقَالُ لَهُ خِنْزِبٌ فَإِذَا أَحْسَسْتَهُ فَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْهُ وَاتْفِلْ عَلَى يَسَارِكَ ثَلاَثًا

Maksudnya: Itu adalah syaitan yang namanya Khinzib. Jika kamu merasa akan gangguannya, maka mohonlah perlindungan daripada Allah SWT dan ludahlah ke bahagian kirimu sebanyak tiga kali. (Riwayat Muslim)

 Semoga puan dimudahkan oleh Allah SWT dan dihindarkan daripada penyakit was-was. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 381

message user image