Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum
Saya telah bernikah 2 kali dan sekrg masih dalam status pernikahan dengan suami kedua. Hasil pernikahan pertama saya dikurniakan 3 org anak 2 lelaki & seorg perempuan manakala pernikahan ke 2 seorg anak perempuan berusia 9 bulan. Bapa kandung 3 org anak saya masih hidup dan sepjg perceraian tiada nafkah diberikan ke atas anak2, hak hadhanah adalah atas saya utk 3 org tersebut dan bekas suami ada mengambil anak2 apabila perlu. Sebelum bernikah utk kali kedua, saya sudah menerangkan status saya & anak2 kepada bakal suami ketika itu dan menetapkan syarat bahawa jika ingin menikahi saya perlu juga menerima anak2 saya & beliau telah bersetuju dengan syarat tersebut. Suami juga mempunyai anak perempuan dr hasil pernikahan pertama. Soalan saya disini:
1. Suami tidak mahu menerima anak2 tirinya dan meminta saya memberikan hak kepada bapa kandung mereka & saya tidak mahu. Apakah hukumnya?
2. Suami ada beberapa kali menyatakan mahu bercerai tetapi dengan syarat dia tidak akan menuntut hak sepencarian dengan saya tetapi hendak hak hadhanah anak perempuan kami 9 bulan.
3. Anak2 saya yg 3 org tu seperti jauh hati dengan bapak tiri mereka & saya. Saya masih ingin menjaga mereka. Mereka ada menyatakan bahawa ingin duduk dengan saya tapi bukan sekali dgn bapa tiri mereka. Percakapan dan bahasa bapa tiri mereka juga agak kasar dengan anak sendiri, saya & anak tirinya.
4. Adakah anak lelaki saya boleh menikahkan adik perempuannya yang berlainan bapa? Apakah hukum aurat di antara mereka.
Apa yang harus saya lakukan? Saya sudah lakukan solat istiharah, tahajud & doa kepada Allah tapi masih tidak menemukan jawapannya.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد...
1. Berdasarkan kepada persetujuan bersama sebelum perkahwinan puan dan suami puan, maka pihak suami puan tidak boleh untuk melanggar syarat atau persetujuan yang telah disepakati bersama. Tindakan seumpama ini boleh dikategorikan sebagai mungkir janji, dan ia sesuatu yang dilarang dalam Islam, sebagaimana hadis Nabi S.A.W daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Tanda-tanda orang munafik ada tiga, iaitu apabila ia berbicara ia dusta, apabila ia berjanji tidak ditepati dan apabila diberi amanah dia khianati.” (Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim) ditambah dalam riwayat Muslim : Walaupun dia berpuasa, bersembahyang dan mendakwa diri muslim.
2. Dalam Islam, sekiranya pasangan suami isteri menghadapi perbalahan dalam rumahtangga dan ianya tidak dapat diselesaikan dimeja rundingan, maka pasangan ada hak untuk memohon perceraian, samada dari pihak suami atau pun isteri. Walaubagaimana pun kes permohonan perceraian adalah di bawah bidang kuasa mahkamah Syariah, dan segala hujahan dan tuntutan boleh dikemukakan dalam perbicaraan tersebut. Masing-masing boleh membuat tuntutan namun hakim akan membuat keputusan menentukan samada tuntutan itu boleh diterima ataupun ditolak.
3. Dalam perkara ini, sebaiknya diadakan perbincangan antara puan dan anak-anak dengan melihat yang mana lebih banyak samada kebaikan atau kemudharatan. Sekiranya dua-dua keadaan yakni tinggal bersama bapa tiri atau tidak tinggal bersama bapa tiri pun mudharatnya sama sahaja maka ambillah mana mudharat yang paling ringan. Puan juga boleh berbincang dengan pihak suami dengan cara yang baik, agar dapat mengubah cara berkomunikasi dengan keluarga dengan cara lebih baik, sopan dan berhikmah. Perubahan suami ke arah yang lebih baik akan memberi kesan yang baik juga kepada keluarga terutama anak-anak.
4. Sentiasalah mendekatkan diri dan berdoa kepada Allah SWT mudah-mudahan dipermudahkan segala kesukaran ini.
5. Anak lelaki puan tidak boleh menikahkan adik perempuan yang seibu, kerana dalam turutan wali nikah adalah adik beradik lelaki seibu sebapa atau adik beradik lelaki sebapa sahaja yang boleh menjadi wali kepada pernikahan adik perempuannya. Manakala dalam bab aurat, mereka adalah mahram kerana anak lelaki puan dan adik perempuannya adalah adik beradik seibu.
والله أعلم بالصواب