Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum..
Saya ingin bertanya.
Saya ada berhutang kepada sahabat RM200. (Sahabat saya baru meninggal dunia) belum sempat untuk membayar hutang sebelum kematiannya.
Boleh kah saya wakafkan duit hutang si mati.(wakaf atas nama simati) Kepada badan wakaf. Supaya mendapat pahala wakaf berpanjangan?
Atau saya pulangkan rm200 Kepada waris?
Sekian terima kasih untuk jawapannya.
Jawapan
وﻋليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Hukum membayar hutang adalah satu kewajipan yang mesti ditunaikan. Kegagalan kita menjelaskan hutang disebabkan oleh kelalaian atau ketidakmahuan penghutang adalah satu perbuatan dosa yang dimurkai oleh Allah SWT.
Merujuk kepada persoalan tuan, kita wajib membayar hutang tersebut kepada ahli waris si mati kerana hutang tersebut telah menjadi sebahagian daripada harta pusaka. Ini kerana harta milik si mati yang ditinggalkan selepas kematiannya akan beralih pemilikan kepada ahli waris yang hidup. Harta tersebut perlu untuk dibahagikan mengikut bahagian faraid yang ditetapkan oleh syarak. Sabda Nabi SAW sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA:
مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسَ يُرِيدُ أَداءَهَا أَدَّى اللهُ عَنْهُ وَ مَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلَافَهَا أَتْلَفَهُ اللهُ
Maksudnya: Barangsiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk membayarnya semula, maka Allah SWT akan menunaikannya untuknya. Barangsiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk menghabiskannya tanpa membayar balik, maka Allah SWT akan membinasakan dirinya. (Riwayat al-Bukhari)
Namun begitu, sekiranya penghutang mahu mewakafkan atau menyedekahkan pahala kepada si mati, penghutang boleh sahaja menggunakan hartanya sendiri untuk disedekahkan dan diniatkan pahalanya kepada si mati.
Sekian, terima kasih
والله أعلم بالصواب