BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Tuan,saya ada persoalan berkaitan pertikaian harta pusaka oleh keluarga angkat arwah ibu mertua.

Ibu mertua saya Yang binti Khamis adalah anak angkat.Semasa ibu angkatnya meninggal dunia,ibunya berwasiat secara lisan untuk menghibahkan sebahagian tanah seluas tapak rumah kepada ibu mertua saya.Wasiatnya telah ditunaikan oleh bapa angkatnya iaitu Ali.

Tetapi setelah hampir 20 tahun,anak buah kepada ibu angkatnya telah meminta arwah ibu mertua saya, menandatangani surat perjanjian untuk mencagarkan geran tanah tersebut.Tapi apa yang berlaku sebaliknya.Apabila disemak di pejabat tanah Alor Gajah, Melaka oleh beberapa orang anak arwah ibu mertua,didapati nama arwah telah dipadam.

Anak arwah ada menuntut hak tanah tersebut tetapi mereka menggunakan sihir untuk memiliki tanah tersebut.Sekarang ini,anak arwah yang bongsu hendak menebus semula tanah tersebut.

Tuan,apa yang perlu saya dan suami buat.Adakah hak tanah pusaka itu telah terputus atau belum dan bagaimana cara.

Sekian terima kasih.

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه ومن والاه . أما بعد؛

Merujuk kepada soalan tuan/puan, menurut hukum syarak, wasiat telah berlaku dari pewasiat kepada ibu mertua tuan/puan dan tanah tersebut menjadi hak miliknya sejak wasiat dilafazkan. Namun jika wasiat dibuat hanya secara lisan tanpa ada bukti bertulis, wasiat tersebut mudah diselewengkan pihak tidak bertanggungjawab. Tambahan pula ibu mertua tuan/puan telah menandatangani perjanjian untuk mencagar geran tanah tersebut yang mungkin kesannya tanah boleh berpindah hak milik. Perkara sebegini elok dirujuk kepada Pejabat Daerah dan Tanah untuk mengetahui kisah disebalik apa yang berlaku dan bagaimana nama ibu mertua tuan/puan telah dipadam dari geran tersebut. Daripada Sai'd bin Zaid RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda;

مَنِ اقْتَطَعَ شِبْرًا مِنَ الأرْضِ ظُلْمًا، طَوَّقَهُ اللَّهُ إِيَّاهُ يَومَ القِيَامَةِ مِن سَبْعِ أَرَضِينَ

Maksudnya : Sesiapa yang mengambil sejengkal daripada bumi (tanah) orang lain secara zalim, mengkalungkannya dengan kadar tanah yang diambil ditambah dengan kedalamannya sedalam tujuh petala bumi sebagai azab pada hari kiamat.

(Riwayat Muslim)

Sekiranya berlaku penyelewengan atau penipuan oleh mana-mana pihak, pihak tuan/puan boleh membuat tuntutan di mahkamah yang berbidangkuasa. Mengambil harta atau hak orang lain secara batil adalah berdosa dan dilarang di dalam Islam.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 139

message user image