Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Salam Ustaz, saya dan isteri telah berkahwin selama setahun dan kami tinggal berjauhan. Saya bekerja di Shah Alam dan isteri bekerja di kampung. Isteri saya pernah melakukan kesilapan besar iaitu curang kepada saya, saya memarahi dan menasihati isteri saya dengan menceritakan segala hukum & larangan Allah bagi seorang wanita yang sudah berkahwin tetapi segala nasihat saya tidak dapat diterimanya. Malah dia tetap berdegil dengan mengatakan yang saya ni tidak sesuai dengan dia dan dia meminta cerai. Saya sayangkan isteri saya dan saya tak nak berpisah dengannya. Saya sudi memaafkan dia sekiranya dia insaf dan bertaubat kepada Allah. Saya menceritakan hal ini kepada ibu mertua saya untuk mendapatkan nasihat kerana dia adalah orang yang terdekat dengan isteri saya tetapi usaha ini sia sia kerana ibu mertua saya menyebelahi isteri saya (anaknya) walaupun dia tahu yang anaknya salah. Ibu mertua saya telah pergi ke rumah orang tua saya dan meminta untuk saya menceraikan isteri. Saya tidak pernah mengabaikan tanggungjawab saya sebagai seorang suami dan tetap bersabar untuk tidak menceraikan isteri saya. Isteri saya sekarang tidak taat kepada saya dan keluar rumah tanpa izin dari saya. Semua perkara yang isteri saya buat disokong oleh ibu mertua saya walaupun dia tahu yang perkara itu salah. 1. Apakah pendapat ustaz tentang masalah yang saya hadapi ini? 2. Apakan hukum mertua menyuruh saya menceraikan isteri saya? 3. Adakah saya berdosa kerana tidak mentaati ibu mertua saya yang menyuruh saya menceraikan isteri? Saya harap jawapan dari pihak ustaz dapat membantu saya menyelesaikan masalah rumah tangga saya. Sekian, terima kasih. Assalamualaikum.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, 1. Sepatutnya rumah tangga yang baru setahun dilangsungkan, masih berada dalam mood berbulan madu. Bagaimanapun, mungkin kerana berjauhan, maka terjadilah perkara yang sebaliknya, lebih-lebih lagi terdapat campurtangan ibu mertua yang tidak bertindak dengan wajar. Antara langkah yang perlu diambil untuk menyelamatkan rumah tangga tuan ialah merujuk kepada pihak berkuasa undang-undang keluarga, di Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran agar mendapat nasihat disamping tindakan yang berkesan. 2. Ibu mertua sudah dikira menghasut, maka hukumnya adalah haram, kerana membawa kepada keruntuhan rumahtangga. 3. Taat kepada seseorang, termasuk ibu mertua adalah dalam perkara kebaikan yang menepati syarak. Oleh itu tidaklah wajib taat kepada ibu mertua yang bertindak menghasut. Perbuatan tidak mentaati ibu mertua seperti itu tidaklah berdosa. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.