Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
Saya hendak bertanya tentang saluran untuk membersihkan interest / dividen yang tidak patuh syariah. Saya faham yang kita perlu salurkan kpda badan yang memberi benefits kepada orang awam.
Soalan saya, boleh ke saya salurkan kepada orang yang kurang bernasib baik, tetapi secara individu. Contohnya saya guna duit itu untuk membeli pakaian kepada jiran yang baru kebakaran rumah, atau kepada mana-mana pengemis di tepi jalan. Boleh ke sedemikian?
Harap dapat dibantu
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan tuan, kaedah untuk membersihkan harta yang tidak patuh syariah adalah dengan menyerahkan kepada pihak Baitulmal, Majlis Agama Islam Negeri .Dana ini akan diserahkan kepada fakir miskin atau golongan yang tidak berkemampuan (maslahah umum). Penyucian harta dengan jalan ini bukanlah bertujuan untuk memperoleh pahala daripada kebaikan tersebut, bahkan orang yang bersedekah dengan harta yang haram atau syubhah ke jalan kebajikan tetap tidak mendapat pahala sedekah, sebaliknya akan mendapat pahala dari sudut lain iaitu beroleh pahala disebabkan usahanya untuk melupuskan harta yang haram dan tidak menggunakan harta tersebut untuk dirinya dan ini adalah pahala disisi Allah S.W.T.
Hal ini adalah bersandarkan kepada hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA yang bermaksud:
“Sesiapa yang menzalimi kehormatan atau apa sahaja harta saudaranya hendaklah ia meminta halal daripadanya pada hari ini sehingga jangan berbaki satu dinar atau dirham. Jika tidak, sekiranya dia mempunyai amal soleh, maka akan diambil amal solehnya dengan kadar kezaliman yang dilakukannya, dan kiranya tiada lagi kebaikan, maka akan dipertanggungjawabkan kejahatan orang yang dizaliminya itu pula.” (Riwayat al-Bukhari)
Sehubungan itu, bagi perincian maklumat dan info yang lebih lanjut pihak tuan boleh menghubungi Sektor Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor di talian 03-5514 3400.
Sekian, terima kasih
والله أعلم بالصواب