Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan,
Saya ingin bertanya apakah hukum seseorang bukan muslim membantu orang muslim dalam agamanya? Sebagai contoh, mungkin seperti dengan membina masjid, menyempurnakan jenazah orang muslim (bukan muslim itu masih dengan agamanya)
Dan bagaimana pula hukum seseorang muslim yang membantu bukan muslim dalam agama mereka? Keduanya menghormati fahaman masing-masing dan apakah hukum bagi kita orang muslim untuk perkara ini?
Terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan, adalah dibolehkan orang Islam menerima bantuan daripada bukan Islam . Islam tidak melarang orang Islam bermuamalah dengan orang bukan Islam sama ada dalam urusan perniagaan atau dalam urusan kehidupan harian. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Mumtahanah ayat 8 :
لا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
Maksudnya : “Allah tiada melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.”
Islam juga mengajar umatnya untuk berbuat baik kepada sesama umat tanpa mengira agama. Tiada halangan bagi orang muslim membantu mereka yang tidak memerangi Islam. Bantuan yang diberikan kepada orang bukan Islam haruslah atas dasar toleransi, ihsan dan juga perdamaian sesama manusia dan kaum sahaja. Bagaimanapun kita dilarang membantu dan bertolong-tolongan dalam urusan menegakkan agama dan pegangan mereka yang bertentangan dengan Islam.
والله أعلم بالصواب