BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Ustaz,

Ingin saya bertanya berkenaan hukum terjebal dengam makanan dan pakaiin yang dikhuatiri tercemar najis babi.

Saya bekerja di pelantar minyak yang pemilik dia adalah negara asing dan bukan muslim.

Masalahnya disini makanan telah bercampur dengan babi dan sekaligus perkakasnya adalah khuatiri telah bercampur semasa penyedian tersebut. Apakah hukumnya sekiraan orang islam memakan makanan yg mugkin telah tercemar dari peralatan yg digunakan untuk penyedian babi tersebut? Dan tiada makanan lain yg diyakini halal kecuali buah dan biskut? Kerja dekat plantar memerlukan tenaga yang banyak. 

Yang kedua, bagaimana dengan basuhan yang dibasuh bersama pakaian tukang masak yang dikhuatiri telah tercemar dengan najis babi walau mugkin dibasuh tidak bersama tetapi mengunakan mesin basuh yang telah tercemar tersebut. Apakah hukumnya memakai pakaian tersebut secara harian dan digunakan untuk solat? Apakah perlu dibuang baju itu setelah ada pilihan?

Terima kasih. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه ومن والاه . أما بعد؛

Persoalan berkaitan pemakanan halal merupakan antara isu utama yang sering diperbahaskan dalam hubungan Muslim dan bukan Muslim kerana ia berkait dengan syariat Islam yang mendorong setiap Muslim ke arah kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Mengambil makanan yang halal merupakan aspek-aspek kepatuhan dan ketaatan yang dituntut oleh syariat Allah ke atas setiap muslim.

Hukum asal bagi bekas atau perkakas orang bukan Islam adalah suci selagi tidak ada bukti kukuh bahawa bekas atau perkakas itu digunakan untuk menyediakan makanan yang bersifat najis, seperti arak dan khinzir.

Perlu dinyatakan bahawa sekiranya makanan, perkakas makanan atau pakaian yang diyakini dan terbukti telah terkena najis babi maka tidak boleh memakan dan menggunakannya kerana mutanajjis. Pakaian atau perkakas tersebut perlu dicuci dengan tujuh kali cucian salah satunya dengan air tanah sebelum digunakan. Makanan yang terkena najis tidak boleh dimakan dan perlu digantikan dengan makanan lain yang diyakini halal walaupun buah atau biskut. 

Sekiranya perkara tersebut hanya telahan atau sangkaan semata-mata tanpa sebarang bukti atau petunjuk (qarinah) tertentu, maka makanan, perkakas atau pakaian tersebut harus makan dan digunakan.

Sekiranya masih berasa was-was, maka ia diistilahkan sebagai perkara syubhah yang wajar dielakkan. Perkara syubhah adalah perkara yang tidak diketahui hakikatnya secara jelas samaada halal atau haram.

Nu'man bin Basyir RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda;

 الحَلَالُ بَيِّنٌ، والحَرَامُ بَيِّنٌ، وبيْنَهُما مُشَبَّهَاتٌ لا يَعْلَمُهَا كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى المُشَبَّهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وعِرْضِهِ

Mafhumnya : Perkara halal itu jelas dan yang haram itu jelas dan di antara keduanya adalah perkara syubhah (tidak jelas) yang ramai manusia tidak mengetahuinya, sesiapa yang menjauhi perkara syubhah maka dia telah menyelamatkan agama dan maruahnya. (Riwayat al-Bukhari)

Pakaian yang dibasuh bersama pakaian yang dikhuatiri telah tercemar dengan najis babi atau dibasuh menggunakan mesin yang sama, jika terbukti bercampur najis, maka pakaian tersebut adalah terkena najis dan perlu dibasuh sebanyak tujuh kali, salah satunya dengan air tanah sebelum dipakai dan digunakan untuk solat.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 341

message user image