Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
saya ada pertanyaan sedikit, mengikut agama islam jika suami isteri bersetubuh selepas waktu subuh (solat subuh) antara 8pagi - 10pagi , adakah salah?
Jawapan
السلام ورحمة الله وبركاته وعليكم الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد... Merujuk kepada persoalan tuan, tidak menjadi satu kesalahan untuk menggauli isteri selepas waktu subuh (solat subuh) atau pada mana-mana waktu yang dipercayai afdhal untuk bersetubuh. Ini kerana Islam tidak menetapkan secara khusus waktu yang utama, kecuali hanya larangan bersetubuh pada siang hari di bulan Ramadhan. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 223; نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَّكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّىٰ شِئْتُمْ Maksudnya: “Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu;”. Berdasarkan kepada ayat di atas ini juga, diharuskan kepada pasangan untuk bersetubuh dengan apa cara yang disukai dengan syarat tidak memberi kemudharatan kepada pasangan, dilakukan secara suka sama suka dan tidak membawa kepada kerosakan serta dilakukan dengan penuh adab. Sehubungan itu, peliharalah hubungan antara pasangan dengan penghayatan Islam yang sebenar, semoga rumah tangga yang dibina sentiasa di dalam mawaddah dan rahmah. والله أعلم بالصواب |