BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian. Saya ingin bertanya ucapan ayat Al Quran:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
"Innallaha wa malaikatahu yusholluna 'alan nabi. Ya ayyuhalladziina amanu shollu 'alaihi wa salamu taslima"

"Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat (memuji dan berdoa) ke atas Nabi ﷺ. Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu ke atasnya serta ucapkanlah salam dengan penghormatan kepadanya" [Al-Ahzab 33:56]

ada dilaungkan oleh bilal-bilal di beberapa masjid seluruh negara sebelum Khatib berkhutbah. Soalan saya, adakah perbuatan ini sunnah? Jika tidak, adakah perbuatan tersebut lebih baik ditinggalkan atau diteruskan? Ataupun perbuatan tersebut menjadi hak individu setiap bilal samada untuk mengungkapkan ayat Al Quran tersebut?

Terima kasih atas atas perhatian tuan-tuan dan puan-puan. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه ومن والاه . أما بعد؛

Melafazkan selawat ke atas Rasulullah SAW adalah perkara yang disunatkan lebih-lebih lagi pada hari jumaat. Waktu berselawat ke atas Rasulullah SAW adalah umum sepanjang hari dan tidak dikhususkan kepada masa-masa tertentu. Perbuatan para muazzin berselawat sebelum azan adalah merupakan peringatan yang baik kepada dirinya dan para jama'ah yang hadir supaya sama-sama berselawat pada hari yang mulia tersebut supaya tidak terlepas ganjarannya. Daripada Aus bin Abi Aus RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda;

- إنَّ مِنْ أفضلِ أيَّامِكم يومَ الجمعَةِ فيه خُلِقَ آدمُ وفيه قُبِضَ وفيه النفخةُ وفيه الصعْقَةُ فأكْثِروا علَيَّ منَ الصلاةِ فيهِ فإنَّ صلاتَكم معروضةٌ علَيَّ قال قالوا يا رسولَ اللهِ وكيفَ تُعْرَضُ صلاتُنَا عَلَيْكَ وقدْ أَرَمْتَ يَقُولون بَلِيتَ فقال إنَّ الله عز وجل حرَّمَ علَى الأرضِ أجسادَ الأنبياءِ

Maksudnya : Sesungguhnya hari yang paling baik bagi kamu adalah hari jumaat, padanya dicipta dan diwafatkan Adam AS, dan padanya ditiup sangkakala lalu semua makhluk dimatikan serta merta, maka perbanyakkanlah selawat ke atas ku padanya (hari jumaat), sesungguhnya selawat kamu itu akan dibentangkan kepadaku - Aus RA berkata - lalu para sahabat bertanya, wahai Rasulullah, bagaimana selawat kami dibentangkan kepadamu sedangkan kamu telah mati, - mereka berkata - kamu telah binasa. Maka Rasulullah SAW bersabda; Sesungguhnya Allah 'Azza wa Jalla mengharamkan jasad para nabi dari dimakan oleh bumi. (Riwayat Abu Daud)   

Walaupun amalan berselawat sebelum azan jumaat bukan perkara sunat secara khusus, namun ia tetap perkara yang baik yang bersandar kepada dalil umum tentang galakan berselawat pada hari jumaat.

Sekian, terima kasih

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 148

message user image